HEADLINES

Diberhenti secara tidak adil, Lim Teong Kim dapat pampasan RM1 juta

Mahkamah Perusahaan berkata keputusan Perak FC menamatkan kontrak Teong Kim di pertengahan musim atas alasan prestasi pasukan kurang memberangsangkan adalah tidak matang, tidak berasas, dan didorong pertimbangan komersial

10:16 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perak FC Sdn Bhd diarah membayar pampasan berjumlah RM1.04 juta kepada bekas ketua jurulatihnya, Lim Teong Kim, sebagai ganti rugi atas pemberhentian kerja secara tidak adil.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Datuk D Paramalingam, berkata jumlah tersebut dikira berdasarkan baki 16 bulan daripada kontrak tetap dua tahun Teong Kim, yang telah ditamatkan lebih awal pada 24 Mei 2023, kira-kira lapan bulan selepas beliau berkhidmat.

Selaku pihak penuntut, Teong Kim, 61, akan menerima RM1,040,000, berdasarkan gaji bulanan dipersetujui RM65,000.

“Tiada perintah pengembalian jawatan boleh dibuat dalam keadaan ini kerana kontrak itu telah luput tempoh,” kata Paramalingam dalam keputusan 60 halaman dikeluarkan minggu ini, lapor FMT.

Menurut beliau, keputusan Perak FC menamatkan kontrak Lim di pertengahan musim atas alasan prestasi pasukan kurang memberangsangkan adalah tidak matang, tidak berasas, dan didorong pertimbangan komersial.

Paramalingam turut mendapati, kedudukan kewangan syarikat telah terjejas oleh ‘kemerosotan prestasi’ Perak FC sebelum pelantikan Teong Kim.

“Ketika pihak syarikat melantik Teong Kim, mereka sedia maklum satu tugas panjang dan sukar untuk mengembalikan kegemilangan kepada bola sepak Perak. Mereka memecatnya sebelum beliau sempat menghasilkan keputusan sepenuhnya,” katanya lagi.

Paramalingam berkata, pihak pengurusan ‘mencari-cari kesalahan’ pada usaha Teong Kim untuk menerapkan disiplin dalam kalangan pemainnya.

Tambah beliau lagi, dakwaan salah laku dikenakan terhadap Teong Kim tidak cukup serius bagi mewajarkan penamatan perkhidmatan.

“Satu amaran terakhir telah diberikan dan Teong Kim diarah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada media,” katanya, di mana penuntut (Teong Kim) sudah mematuhi arahan tersebut.

“Namun, pihak syarikat mengungkit semula isu sama yang dibangkitkan sebagai alasan untuk menamatkan perkhidmatannya.”

Surat penamatan perkhidmatan hanya menyatakan prestasi pasukan yang tidak memuaskan sebagai alasan pemecatan.

“Ini adalah sesuatu yang sama sekali berbeza dan tidak berkaitan dengan dakwaan awal syarikat mengenai salah laku penuntut di hadapan pihak media dan penyokong.”

Paramalingam berkata, tindakan syarikat mengungkit semula dakwaan salah laku adalah sama seperti mengenakan hukuman berganda.

“Tindakan pihak syarikat yang mengenakan hukuman berganda harus dibatalkan kerana ia tidak adil dan tidak wajar,” tegasnya.

Teong Kim diwakili peguam Edward Andrew Saw dan Jerry Low, manakala Weera Premananda bertindak bagi pihak Perak FC.

Dia adalah bekas pemain bola sepak profesional yang pernah membuat 60 penampilan bersama skuad kebangsaan antara 1982 hingga 1996.

Beliau memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan, termasuk tempoh perkhidmatan yang panjang bersama Bayern Munich dari 2000 hingga 2012.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara dan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan bawah 16 tahun (B16). – 10 Ogos, 2025

Topics

 

Popular

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Related