KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyerahkan kepada kepimpinan jurulatih Rexy Mainaky dan Kenneth Jonassen serta Pengerusi Jawatankuasa Prestasi persatu itu, Datuk Seri Lee Chong Wei berhubung pemilihan pemain bagi kejohanan akan datang.
Bercakap kepada Scoop, Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata ia bagi membantu pemain kekal fokus di samping memberikan pulangan pelaburan (ROI) yang lebih baik kepada persatuan.
“Kita telah membincangkan perkara ini dengan pengarah kejurulatihan, Kenneth dan Rexy, dan mereka telah memberikan pandangan mereka.
“Selepas berbincang dengan pengerusi jawatankuasa prestasi, Chong Wei, mereka mencadangkan supaya pemain memberi tumpuan kepada kejohanan tertentu, dengan kriteria pemilihan yang jelas bagi setiap kejohanan. Saya menyerahkan keputusan ini kepada mereka.
“Saya tidak mempunyai perincian kerana saya tidak mahu mengamalkan pengurusan mikro, tetapi saya percaya pendekatan ini adalah wajar dan logik,” katanya.
Tengku Zafrul menambah penjadualan secara terpilih tidak akan menjejaskan kedudukan ranking pemain atau kelayakan ke kejohanan utama, termasuk Sukan Olimpik 2028.
“Kami membincangkan perkara ini dengan kedua-dua pengarah kejurulatihan semasa Mesyuarat Majlis BAM, dan mereka mengesahkan bahawa penjadualan secara terpilih tidak akan menjejaskan ranking pemain, terutamanya memandangkan Sukan Olimpik seterusnya hanya pada tahun 2028,” katanya.
Beliau juga menegaskan pendekatan ini membantu pemain mengelakkan keletihan akibat menyertai kejohanan berturut-turut.
“Mereka menjelaskan kepada saya bahawa pendekatan ini memastikan ROI yang lebih tinggi dan membolehkan pemain kekal lebih fokus. Kadangkala, mereka bertanding dalam kejohanan berturut-turut, yang boleh meletihkan.
“Sebagai contoh, selepas Terbuka Malaysia, semua pemain terus berlepas ke Terbuka India pada hari yang sama,” kata Tengku Zafrul.
Presiden BAM itu menegaskan bahawa walaupun persatuan akan terus menyediakan pengawasan strategik, keputusan terperinci akan diserahkan kepada pasukan kejurulatihan.
Dalam kejohanan Terbuka India yang sedang berlangsung, pemain badminton Malaysia mencatat keputusan bercampur-campur pada pusingan awal.

Lee Zii Jia tersingkir awal selepas tewas pada pusingan pertama kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke, manakala pasangan beregu lelaki utama Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua selepas lawan senegara mereka menarik diri di pertengahan perlawanan akibat kecederaan.
Pasangan beregu lelaki Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani gagal mempertahankan gelaran selepas mengalami kekalahan mengejut kepada pasangan Taiwan, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan.
Dalam beregu wanita, pasangan nombor dua dunia Pearly Tan dan M. Thinaah mara ke pusingan kedua dengan kemenangan straight set.
Satu lagi pasangan beregu lelaki, Chia Weijie dan Lwi Sheng Hao, tersingkir pada pusingan pertama, manakala Man Wei Chong dan Tee Kai Wun mara ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara mereka, Tan Wee Kiong dan Nur Mohd Azriyn Ayub.
Kejohanan ini masih di peringkat awal, dengan lebih banyak perlawanan bakal berlangsung bagi menentukan pemain Malaysia yang kekal dalam persaingan. — 16 Januari 2026

