HEADLINES

Dr Afif tidak kecil hati kenyataan Faiz, ‘itu pandangan peribadi, saya jemput beliau bantu kempen’

Beliau memaklumkan sebagai anak kelahiran Selangor, fokusnya kini hanya untuk meraih hati pengundi Taman Medan supaya memilih PN

9:04 PM MYT

 

PETALING JAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) Taman Medan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Dr Afif Bahardin tidak berkecil hati dengan kenyataan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman yang dilaporkan tidak berpuas hati dengan cara pemilihan beberapa calon ditetapkan parti itu, termasuk memetik namanya.

Dr Afif berkata, beliau menyifatkan ia adalah pandangan peribadi Faiz dan menghormatinya, selain enggan mengulas lanjut.

Katanya, parti sudah membuat proses pemilihan dan kini, fokusnya adalah menjalankan tanggungjawab untuk meraih hati pengundi Taman Medan supaya memilih PN demi masa depan lebih baik.

“Itu pandangan peribadi dia (Faiz) dan saya menghormatinya. Faiz juga sahabat saya dan saya melihatnya sebagai individu yang baik.

“Malah, saya menjemputnya untuk membantu saya berkempen di Taman Medan dan saya gembira jika beliau sudi membantu,” katanya pada Sesi Sembang Santai Bersama Dr Afif Bahardin di sini, hari ini.

Terdahulu, Faiz dilaporkan tidak berpuas hati dengan cara pemilihan calon Bersatu pada PRN di Selangor kerana disifatkan ‘lemah dan bermuslihat’.

Memetik laporan Utusan Malaysia, beliau membangkitkan keputusan parti untuk mencalonkan mereka yang tewas di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan secara khusus menyebut nama Datuk Seri Rina Harun yang kalah di Sepang, Mohamed Azmin Ali (Gombak), Sasha Lyna Abdul Latiff (Ampang) serta Dr Afif (Shah Alam).

Sementara itu, Afif menafikan dakwaan bahawa ramai calon daripada Bersatu yang bertanding pada PRN Selangor adalah dari ‘kem Azmin’.

“Kami semua mewakili PN dan bertanding untuk parti, bukan mewakili mana-mana kem,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Afif berkata, meskipun pernah dilantik antara Exco Pulau Pinang dan berkhidmat sebagai wakil rakyat di negeri berkenaan, beliau mengakui jiwanya sebagai anak jati Selangor tetap utuh.

Justeru, saat diumumkan sebagai calon bagi kerusi di kawasan berkenaan, beliau cukup teruja kerana berpeluang mendekati rakyat di negeri sendiri, malah berharap akan memenangi DUN itu untuk berpeluang menabur bakti.

Bagaimanapun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu mengakui disoal penduduk sama ada beliau adalah anak kelahiran Selangor atau berasal dari Pulau Pinang.

“Saya kata saya anak Selangor, lahir di Selangor (Petaling Jaya), membesar, bersekolah dan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Selangor.

“Kini selepas berkhidmat di Pulau Pinang, saya kembali mahu menabur bakti kepada negeri sendiri. Selangor tetap di hati. Bila saya beritahu ini, mereka (penduduk) terima kehadiran saya dengan sangat baik,” katanya yang menentang Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dari Pakatan Harapan (PH), Ahmad Akhir Pawan Chik di DUN berkenaan. – 2 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

Singaporean mum in uphill battle in Johor shariah court after ex-husband abducts son

Daylin Limonte Alvarez faces complex legal hurdles in getting Malaysian Islamic court to enforce child custody order granted by republic

Related