HEADLINES

Faiz Na’aman keluar Bersatu, letak jawatan Ahli MPT

Surat rasmi memaklumkan keputusannya itu sudah dihantar kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini

10:46 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dr Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk berhenti menjadi ahli parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Menurutnya, surat rasmi mengenai keputusan tersebut sudah dihantar kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Dalam surat tersebut, beliau menjelaskan bahawa keputusannya itu dibuat secara sukarela dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Keputusan yang saya ambil ini tidak dipengaruhi olen mana-mana pihak. Ia dibuat secara sukarela dan berdasarkan prinsip yang saya pegang, di mana saya tidak boleh lagi mewakili kepimpinan parti kerana mempunyai pertentangan pendapat, idea serta visi mengenai pengurusan dan hala tuju Bersatu.

“Saya ucapkan terima kash ke atas segala peluang yang telah diberikan oleh pihak kepimpinan parti selama tujuh tahun saya bersama dalam parti ini sejak ia ditubuhkan pada 2016,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Faiz mengakui, keputusan besar itu dibuat dengan berat hati memandangkan beliau antara 100 ahli dan anak muda terawal yang menyertai Bersatu ketika penubuhannya pada 2016.

“Umum mengetahui sepanjang saya berada dalam saf kepimpinan pusat Bersatu, saya memainkan peranan yang agak aktif dalam mempertahankan parti serta pucuk pimpinan di media sosial dan media massa.

“Saya kekal istiqomah dan ‘wala’ dengan kepimpinan parti selama tujuh tahun lamanya walaupun sedar saya jarang diberikan peluang yang serius untuk “diperkasakan” sebagai pemimpin pelapis ketika Bersatu memegang tampuk kekuasaan di dalam kerajaan sejak 2018 hingga 2021,” katanya.

Beliau juga mendakwa, Bersatu sudah terpesong dari objektif awal, kononnya untuk menggantikan Umno dengan memberi lebih ruang kepada ramai orang muda dan muka baru terutama mempunyai latar-belakang bersih, berkelulusan akademik, dihormati serta mereka yang setia dengan parti dari mula.

“Keputusan kepimpinan parti yang seringkali mengabaikan suara akar umbi, beberapa pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Bersatu mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor sebelum ini.

“Sejarah itu juga dilihat bakal berulang dalam PRN di enam negeri terutama untuk kerusi Bersatu dalam PRN di Selangor ketika ini.

“Pemilihan calon yang berat sebelah kepada pihak ‘kartel’ tertentu serta calon bidan terjun baru dijadikan ahli parti hanya semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor menyebabkan terjadi pemberontakan lebih kurang sembilan bahagian Bersatu di Selangor,” katanya.

Dakwanya lagi, pemberontakan itu dapat dilihat menerusi beberapa insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan atau Saringan Calon yang bertanggungjawab terhadap penamaan calon PRN.

Malah dakwanya, protes itu tercetus apabila jawatankuasa terbabit turut mengabaikan sentimen penerimaan pihak bahagian dan jentera di lapangan.

“Malah kelemahan Lembaga Disiplin parti yang lambat dan banyak kerenah menyebabkan watak yang keluar dan mengkhianati parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu boleh kembali mendakwa dirinya masih menjadi ahli Bersatu untuk dipilih menjadi calon PN dalam PRN ini.

“Maka, tidak menghairankan jika Bersatu tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak muda serta orang baru dalam politik memandangkan kerapuhan sistem pengurusan keahlian dan kedudukan MPT,” katanya.

Pada PRU-15 lalu, Dr Muhammad Faiz mewakili PN bertanding di kerusi Bagan Datuk dalam pertembungan empat penjuru dengan penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dari Pakatan Harapan (PH) dan Tawfiq Ismail yang juga calon Bebas.

Beliau bagaimanapun tewas di kerusi tersebut apabila hanya mendapat 8,822 undi. – 7 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related