HEADLINES

Masih kaji risiko, Malaysia belum buat keputusan sekat makanan laut dari Jepun: Mat Sabu

Kajian sedang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar alam sekitar bagi menilai risiko sebelum sebarang pendirian dibuat

4:52 PM MYT

 

SERDANG – Malaysia belum membuat keputusan untuk menyekat kemasukan makanan bersumberkan hidupan laut dari Jepun susulan pelepasan sisa air radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kajian sedang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar alam sekitar bagi menilai risiko sebelum sebarang pendirian dibuat.

“Belum buat keputusan (menyekat) dan pendirian akan dibuat sekiranya kajian menunjukkan bahaya kepada penduduk di dunia ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Show-tech MARDI anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini hari ini.

Media melaporkan beberapa negara antaranya China dan Hong Kong mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan makanan laut dari Jepun susulan pelepasan air radioaktif terawat. 

Sementara itu, Mohamad berkata fokus kerajaan adalah pada keterjaminan bekalan makanan khususnya beras, memandangkan negara seperti India dan Vietnam telah memberi amaran awal akan menaikkan harga atau lebih membimbangkan, menghentikan eksport.

Beliau berkata persediaan awal mesti dibuat untuk mencukupkan bekalan beras menerusi teknologi baharu dan penyelidikan, susulan kebergantungan import beras negara ketika ini adalah sebanyak 35 peratus.

Sementara itu, beliau berkata Show-tech MARDI merupakan platform untuk mempamerkan teknologi dan inovasi pertanian hasil penyelidikan institut itu sejak 54 tahun lepas kepada masyarakat dan pemain industri.

Pameran yang bermula hari ini hingga Ahad adalah seiring dengan usaha MARDI menghasilkan teknologi dan inovasi bagi merancakkan sektor pertanian dan agromakanan negara. — 25 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Government to roll out targeted RON95 subsidy using IC-based verification

Tech-driven mechanism aims to curb misuse and ensure only deserving Malaysians benefit from subsidised fuel

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related