◉ HEADLINES

 Zii Jia mohon perintah mahkamah hadkan kuasa bapa, kakak dalam pertikaian syarikat pengurusan

Pemain badminton negara itu memohon injunksi bagi menyekat bapa dan kakaknya daripada meluluskan faedah kewangan tambahan atau membuat keputusan korporat utama tanpa kebenaran mahkamah, susulan pertikaian berkaitan pengurusan LZJ Management

9:50 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemain badminton negara, Lee Zii Jia memohon injunksi Mahkamah Tinggi bagi menghalang bapa dan kakaknya daripada meluluskan faedah kewangan tertentu untuk diri sendiri atau membuat keputusan korporat penting tanpa kebenaran mahkamah, susulan pertikaian berkaitan syarikat pengurusannya, LZJ Management Sdn Bhd.

Dalam saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Julai 2026, Zii Jia memohon injunksi interim terhadap bapanya, Lee Chee Hin dan kakaknya, Lee Zii Yii, yang kedua-duanya merupakan pengarah syarikat berkenaan.

Permohonan itu bertujuan menghalang mereka daripada meluluskan fi pengarah, elaun, bonus atau faedah kewangan lain untuk diri sendiri selain gaji bulanan masing-masing sepanjang kes itu belum selesai.

Permohonan itu juga bertujuan menyekat keputusan berkaitan pelantikan atau penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset utama, penerbitan saham baharu dan perubahan struktur pegangan saham syarikat tanpa kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

Dokumen mahkamah yang dilihat oleh Scoop menunjukkan permohonan itu difailkan di bawah nombor kes WA-24NCC-400-07/2026, dengan LZJ Management, Chee Hin, Zii Yii dan adik lelakinya, Lee Tao, sebagai responden.

Zii Yii, yang turut menguruskan kerjaya profesional badminton abangnya, memiliki sembilan peratus pegangan dalam syarikat itu, manakala Tao memiliki satu peratus. Zii Jia mendakwa beliau memegang baki 90 peratus saham.

Selain injunksi, Zii Jia memohon perintah mahkamah supaya satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan pengurusan dan tadbir urus syarikat.

Dalam afidavit sokongannya, beliau berkata percubaan untuk mengadakan EGM pada 22 Disember tahun lalu tidak dapat diteruskan kerana korum yang diperlukan tidak mencukupi.

Zii Jia baru-baru ini mara ke separuh akhir perseorangan lelaki pada kejohanan Arctic Open di Vantaa, Finland, sebelum tewas kepada pemain Denmark, Anders Antonsen. – Gambar fail, 13 Oktober, 2026

Saman pemula itu menyatakan bahawa “mesyuarat gagal dijalankan dengan sewajarnya” dan berhujah bahawa campur tangan mahkamah diperlukan kerana syarikat berkenaan berdepan “kebuntuan pengurusan dan pentadbiran”.

Zii Jia mahu mahkamah memerintahkan supaya EGM diadakan dalam tempoh 14 hari selepas perintah dikeluarkan atau dalam tempoh lain yang ditentukan oleh mahkamah. Beliau turut memohon kebenaran untuk mengeluarkan dan menyampaikan notis mesyuarat serta melantik seorang pengerusi bebas.

Di bawah aturan yang dicadangkan, mesyuarat itu boleh diteruskan walaupun tanpa kehadiran pengarah, ahli atau setiausaha syarikat tertentu.

Agenda yang dicadangkan termasuk kemungkinan menyingkirkan pengarah sedia ada, melantik pengarah baharu dan setiausaha syarikat, selain membincangkan perkara korporat lain.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh responden.

Dalam afidavit jawapan yang difailkan pada 6 Ogos, Chee Hin mempertikaikan keperluan campur tangan mahkamah dengan menegaskan bahawa syarikat itu terus menguruskan perkara berkaitan kerjaya profesional badminton anaknya.

Afidavit beliau merujuk kepada perjanjian LZJ Management selama empat tahun dengan jenama sukan Victor, yang berkuat kuasa dari 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028. Beliau berhujah bahawa perjanjian itu dan sumbangan kewangannya penting bagi operasi syarikat serta sokongan terhadap kerjaya Zii Jia.

Afidavit Chee Hin turut menyentuh perselisihan berhubung pembayaran serta penggunaan nama dan imej Zii Jia. Afidavit bersama yang difailkan bagi pihak Zii Yii dan Tao turut mempertikaikan dakwaan berkenaan serta mencabar relif yang dipohon.

Permohonan itu dan pendirian berbeza yang dikemukakan dalam afidavit berkenaan masih trtakluk kepada pertimbangan mahkamah.

Sementara itu, Zii Jia baru-baru ini mara ke separuh akhir perseorangan lelaki pada kejohanan Arctic Open di Vantaa, Finland, sebelum tewas kepada pemain Denmark, Anders Antonsen.

Beliau sebelum itu menewaskan pilihan kedua dari Perancis, Christo Popov, 21-11, 21-16 pada suku akhir, sekali gus memberikan perkembangan positif dalam usahanya untuk kembali ke kelompok 50 pemain terbaik dunia. – 13 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

◉ Related