◉ HEADLINES

Polis rakam keterangan 25 individu berkait kes AKPS : Mohd Khalid

Polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan doktor bagi memastikan semua perkara berkaitan kes itu disiasat dengan teliti

8:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil keterangan daripada 25 individu berhubung insiden membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, pihaknya turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan doktor bagi memastikan semua perkara berkaitan kes itu disiasat dengan teliti.

Mohd Khalid turut meminta masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi yang timbul berhubung kejadian berkenaan.

“Jadi saya menyeru kepada masyarakat di luar sana jangan terlalu terikut-ikut dengan spekulasi yang timbul,” lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mes Pegawai PDRM Bukit Aman, di sini hari ini.

Ditanya mengenai penugasan Pegawai Kawalan Perjalanan (TCO) di bawah Cawangan Khas PDRM, Mohd Khalid berkata tugas rasmi pegawai berkenaan adalah mendapatkan maklumat risikan, menjalankan aktiviti risikan serta melaksanakan kawalan keselamatan di lapangan.

Beliau berkata perkara itu merupakan tugas biasa yang dilaksanakan pegawai serta anggota dan berharap penugasan berkenaan tidak disalahertikan sementara siasatan terperinci dijalankan.

Mengenai kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika kejadian, beliau berkata perkara itu masih belum dapat dipastikan kerana memerlukan siasatan lanjut.

“Dari segi kebiasaannya, ia tidaklah melanggar apa-apa SOP tetapi mungkin ada perkara-perkara di dalam bangunan TCO itu sendiri ataupun di bangunan KLIA itu memerlukan pelaksanaan tugasnya dalam bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata polis akan meneliti perkara tersebut secara terperinci sebelum melengkapkan kertas siasatan untuk dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Sementara itu, dua pegawai yang terlibat dalam kejadian berkenaan masih menjalankan tugas seperti biasa sementara siasatan polis diteruskan.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.

Mohd Shuhaily berkata perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta KDN dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu tersebut. – 5 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

‘Just think of the traffic’: Taman Seputeh residents push back on 1,291-unit project

Residents highlight concerns over construction vehicles, road capacity, hillside stability and the loss of green space

◉ Related