HEADLINES

Kes bunuh 3 warga Sri Lanka, polis sudah tahan 8 warga asing setakat ini

Semua suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an dengan dua suspek utama ditahan Isnin lepas manakala dua lagi adalah pasangan suami isteri yang ditahan pada hari kejadian

3:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Polis setakat ini telah menahan lapan warga asing bagi membantu siasatan pembunuhan tiga lelaki warga Sri Lanka di sebuah rumah sewa di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul di sini, pada 22 September lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, semua suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an dengan dua suspek utama ditahan Isnin lepas manakala dua lagi adalah pasangan suami isteri yang ditahan pada hari kejadian.

“Turut ditangkap pada Isnin ialah tiga lelaki warga Sri Lanka dan seorang lelaki warga Pakistan kerana disyaki memberi perlindungan kepada dua suspek utama itu.

“Dua suspek pertama iaitu sepasang suami isteri warga Sri Lanka telah ditahan pada hari kejadian dan reman ke atas mereka disambung hingga 5 Oktober ini selepas tempoh reman berakhir 29 September lepas.

“Namun suaminya dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan pada Sabtu lepas, sekali gus menjadikan baki keseluruhan hanya tujuh suspek masih direman untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas program Back To School di sekolah Victoria Institution di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 11 malam 22 September lepas, polis menemukan tiga mayat lelaki dalam sebuah bilik stor di kediaman pasangan suami isteri dalam keadaan bertindan dengan tangan terikat manakala kepala mereka disarungkan dengan beg plastik.

Dua daripada mayat berkenaan merupakan penyewa bilik dalam premis itu manakala seorang lagi merupakan anak lelaki kepada pasangan suami isteri berkenaan. 

Pada 30 September lalu,  polis mengesahkan seorang tahanan lelaki warga Sri Lanka telah disahkan meninggal dunia di lokap berpusat Jinjang, ibu pejabat polis Daerah Sentul, jam 11 malam tadi selepas mengadu sakit dada.

Mengulas mengenai kematian suspek dalam tahanan berkenaan, Allaudeen berkata ia ia tidak menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu kerana kertas siasatan sudah hampir siap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam minggu ini.

“Siasatan berhubung kematian tahanan berkenaan telah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman,” katanya. – 2 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

“This decision clears my name after six years of slander – Hannah Yeoh after appeal court victory

Federal Territories Minister Hannah Yeoh says the Court of Appeal ruling in her favour is a vindication of truth, not a pursuit of money, after years of reputational damage caused by false allegations

‘You’re lucky to have uniforms’: Pos Malaysia CEO under fire after ‘rude’ reply to postman

Social media users highlighted company’s top five’s high compensation, including Charles Brewer’s, despite making losses sixth year in a row

M’sia achieves 70% reduction in ozone-depleting substance use: Nik Nazmi

New strategies aim for a complete phase-out of harmful refrigerants by 2030, boosting green technology jobs

Related