HEADLINES

Bajet 2024: MCMC sifatkan RM100 juta disalur kerajaan mampu perkasa PMKS, pacu ekonomi digital

MCMC turut menyokong kerajaan menambah peruntukan kepada RM20 juta dalam memperkasa usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian atau scam

3:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peruntukan besar RM100 juta disalurkan kerajaan bagi memupuk penggunaan pendigitalan dalam kalangan 20,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah langkah baik ke arah meningkatkan kualiti perniagaan untuk setiap perusahaan berkenaan.

Mengalu-alukan peruntukan itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, usaha berkenaan juga tepat ketika PMKS memperluaskan perniagaan ke arah model perniagaan digital.

Katanya, kewangan sebanyak RM25 juta diberikan menerusi peruntukan itu bagi memperkasa Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), diyakini dapat meningkatkan penjanaan pendapatan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

“Peruntukan kepada PEDi ini bukan sahaja akan dapat membantu memperkasa golongan usahawan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi mereka, bahkan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.

“Ketika ini, terdapat 911 kemudahan PEDi yang beroperasi sebagai satu platform sehenti untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MCMC turut menyokong kerajaan yang menambah peruntukan kepada RM20 juta dalam memperkasa fungsi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), bagi terus meningkatkan fungsi pusat itu untuk membanteras jenayah penipuan dalam talian atau scam.

“MCMC juga sentiasa mempergiat usaha meningkatkan kesedaran berhubung jenayah scam.

“Sehubungan itu, keterlibatan MCMC dalam NSRC adalah penting bagi membangunkan masyarakat berpengetahuan dalam dunia siber,” katanya.

Salim berkata, MCMC akan terus komited memastikan agenda pertumbuhan ekonomi digital negara, dapat memperkasa rakyat ke arah literasi digital tinggi yang menjadi antara fokus utama selaku pengawal selia komunikasi dan multimedia negara.

Mengulas mengenai Bajet 2024 yang memperuntukkan dana tertinggi dalam sejarah, iaitu RM393.8 bilion, beliau berpendapat, belanjawan itu dilihat mampu memacu negara ke arah menjadi negara berinovasi.

Bajet itu juga, katanya, boleh membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih berteknologi tinggi dan memperkasa ekonomi digital.

“MCMC juga menyambut baik mandat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melalui pembentangan belanjawan bertemakan ’Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ itu, bagi membangunkan masyarakat berpengetahuan dalam dunia digital,” katanya. – 14 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related