HEADLINES

Negara Arab kutuk cadangan Menteri Israel mahu guna bom nuklear bedal Gaza

Kenyataan itu disifatkan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, sekali gus memerlukan masyarakat dunia mengambil tindakan segera membanterasnya

1:30 PM MYT

 

ISTANBUL – Beberapa negara Arab, seperti Arab Saudi, Jordan, Qatar dan Yaman semalam, mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan seorang menteri Kabinet Israel yang mencadangkan supaya bom nuklear digugurkan di Gaza, Palestin sebagai satu daripada ‘pilihan’ pada masa akan datang, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Kementerian Luar Arab Saudi seperti dilaporkan Agensi Berita Arab Saudi, kegagalan Israel untuk segera memecat menteri itu dan hanya menggantung tugasnya, mencerminkan sikap tidak peduli negara berkenaan terhadap nilai kemanusiaan, etika, agama serta undang-undang, lapor Agensi Berita Arab Saudi.

Jordan juga mengecam kenyataan itu, dengan menyifatkannya sebagai seruan untuk pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kebencian yang tidak boleh diabaikan.

“Kenyataan itu juga berunsur hasutan untuk membunuh dan melakukan jenayah perang, sebagai tambahan kepada jenayah dilakukan terhadap penduduk Semenanjung Gaza,” katanya.

Jurucakap Kementerian Luar Jordan Sufyan Al-Qudah pula menegaskan, kenyataan sedemikian adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan yang memerlukan masyarakat dunia, mengambil tindakan segera membanterasnya. 

Beliau berkata, memerangi ucapan kebencian membabitkan langkah berkesan yang diambil akan memaksa Israel, sebagai kuasa penjajah untuk menghentikan serangan berterusan terhadap penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Katanya, ia juga mampu memaksa tentera Zionis berhenti melakukan pencabulan mereka ke atas undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan.

Sementara itu, Kementerian Luar Qatar berkata, ancaman dibuat pemimpin terbabit itu adalah hasutan serius untuk melakukan jenayah perang.

“Qatar turut mengecam tindakan Israel yang tidak memecat menteri itu.,” katanya.

Manakala, Yaman menerusi Kementerian Luarnya mengecam kenyataan berkenaan yang disifatkan mencerminkan tahap kebencian dan ekstremisme belum pernah berlaku sebelum ini.

“Yaman turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk menghentikan retorik perkauman dan menghasut, selain jenayah terhadap penduduk Palestin,” katanya. – 6 November, 2023

Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Malaysia risks missing World Cup 2026 as pressure mounts for Free-to-Air broadcast deal

Analysts urge urgent government intervention to secure accessible coverage of the FIFA World Cup 2026, warning that cost barriers could sideline fans and weaken the nation’s football culture

Related