HEADLINES

Jaga kesihatan mental, emosi ketika layari berita, gambar dari Gaza: Fahmi

Kadangkala konten yang dilihat dalam media sosial tidak ditapis, kata menteri komunikasi dan digital

2:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengingatkan pengguna semua platform media sosial di negara ini supaya menjaga kesihatan mental dan emosi masing-masing ketika melayari berita serta gambar dari Gaza.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menasihatkan pengguna yang berasa terganggu dari segi mental dan emosi dengan gambar serta berita yang diterima dari Gaza supaya mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar.

“Waktu ini kita terima banyak berita yang agak hiba dan menyedihkan dari Gaza. Jadi aspek kesihatan mental juga perlu kita tingkatkan kerana kadangkala apa yang kita lihat dalam media sosial itu tidak ditapis. 

“Seperti gambar kematian yang mungkin boleh meninggalkan kesan kepada kita apatah lagi golongan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis menjelang sambutan ke-50 tahun Hospital Pantai Kuala Lumpur pada 1 Februari, 2024 di sini hari ini.

Fahmi berkata secara jujur beliau sendiri turut terganggu terutama dalam minggu-minggu pertama serangan ke atas Gaza bulan lepas.

“Saya sendiri apabila buka Instagram Facebook, Twitter (X) dan TikTok, saya pun tak boleh kawal emosi secara peribadi. Ia amat sedih tengok ibu mendakap anak yang telah meninggal dan jenazah dibawa keluar daripada runtuhan. 

“Bila kita lihat (gambar seperti itu) ia akan meninggalkan kesan. Jadi, utamakan kesihatan mental, sekiranya merasakan (gambar dan berita Gaza) mengganggu emosi dapatkan perkhidmatan kaunseling daripada pakar,” katanya.

Menurut Fahmi, bagi beliau berita yang memberi kesan mendalam ialah apabila terdapat wartawan yang membuat liputan di Gaza terbunuh.

“Sangat dahsyat. Wartawan pun jadi mangsa,” katanya.  

Gaza mula menjadi perhatian dunia termasuk rakyat Malaysia apabila mula diserang rejim Zionis Israel pada 7 Oktober lepas.

Mengenai perkhidmatan 5G di hospital, beliau berkata Digital Nasional Bhd (DNB) kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan kemudahan itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menghubungkan HKL dengan Institut Kesihatan Negara di Setia Alam, Selangor bagi membantu tugas pakar di kedua-dua fasiliti.

“Bagi kemudahan 5G di hospital swasta saya menggalakkan DNB dan syarikat telekomunikasi untuk mengadakan libat urus lebih lanjut. Maklumat mengenai kawasan yang mempunyai kemudahan 5G boleh dilihat di portal Jalinan Digital Negara (Jendela) di Jendela map,” katanya.

Ditanya mengenai kad perakuan media Harakah yang ditarik balik, Fahmi berkata sudah pasti Jabatan Penerangan ada sebab tersendiri dan penjelasan lanjut perlu dirujuk dengan jabatan itu.

Beliau berkata bagaimanapun, pihak Harakah boleh membuat rayuan kepada Jabatan Penerangan. – 8 November, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

Mutiara LRT project kicks off as Penang’s six-year construction timeline begins

SRS Consortium receives notice to proceed with first civil works; RM13 billion project slated for completion by 2031

Related