KUALA LUMPUR – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, tegas Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.
Beliau yang menyifatkan kedudukannya sebagai Undang yang tidak dipertikai menegaskan, keputusan MMK sama sekali tidak boleh menghidupkan atau mengesahkan proklamasi yang telah pun diisytiharkan tidak sah oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
“DKU telah membuat ketetapan pada 31 Julai 2026 dan menegaskannya semula pada 13 September 2026 bahawa proklamasi 19 April 2026 tidak sah dan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Sehubungan itu, semua pihak hendaklah menghormati UUTKNS, bidang kuasa DKU serta ketetapan yang telah dibuat menurut bidang kuasanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penegasan keras itu hadir susulan kenyataan media yang dikeluarkan atas nama barisan Ahli MMK berhubung proklamasi bertarikh 19 April 2026, yang didakwa menyentuh kedudukan Tuanku Muhriz.
Hassan mengingatkan bahawa Institusi Raja dan Undang di Negeri Sembilan mesti dipelihara dengan penuh tertib dan hormat.
Ujarnya, tiada mana-mana individu, institusi pentadbiran mahupun mesyuarat Exco yang boleh meletakkan diri mereka mengatasi UUTKNS.
“Semua pihak hendaklah menjaga keamanan Negeri Sembilan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran negeri atau menjejaskan kemuliaan institusi beraja dan adat Negeri Sembilan,” katanya.
Isu prosedur dan keabsahan proklamasi
Hassan turut berpandangan isu berskala besar seperti ini wajib ditangani mengikut lunas UUTKNS 1959 dan bukannya dituntaskan sewenang-wenangnya menerusi keputusan pentadbiran atau kenyataan media.
“Persoalan pokok bukan semata-mata sama ada Undang Yang Empat mempunyai kuasa berkaitan pemilihan atau penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar.
“Sebaliknya, persoalan lebih asas ialah sama ada kuasa itu telah dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya segala syarat dan proses yang ditetapkan oleh UUTKNS. Kewujudan sesuatu kuasa tidak bermakna tatacara pelaksanaannya boleh diketepikan,” jelasnya.
Menyentuh aspek perundangan, beliau merujuk Perkara 10 UUTKNS 1959 yang menetapkan proses ketat sebelum sebarang kuasa penurunan takhta boleh diguna pakai, termasuk keperluan siasatan penuh.
“DKU telah mengambil pendirian siasatan sedemikian tidak pernah dilaksanakan, dan Tuanku Muhriz juga tidak diberikan notis atau peluang untuk didengar. Kegagalan memenuhi syarat asas itu menimbulkan kecacatan fundamental terhadap proklamasi berkenaan,” katanya.
Keputusan DKU muktamad, tandatangan MB dipertikai
Mengulas lanjut, Hassan membangkitkan Perkara 16(3) UUTKNS yang menetapkan bahawa nasihat DKU berhubung adat Melayu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
“DKU telah memutuskan Proklamasi 19 April 2026 tidak sah, kerana tiga daripada empat penandatangan tidak memegang jawatan Undang yang sah menurut adat Luak masing-masing.
“Oleh itu, dakwaan dalam kenyataan MMK Proklamasi telah ditandatangani oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa, adalah bercanggah secara langsung dengan ketetapan DKU mengenai kedudukan adat pihak-pihak berkenaan,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau meletakkan tanda aras persoalan serius terhadap keabsahan tandatangan Menteri Besar pada proklamasi berkenaan.
Ini memandangkan Menteri Besar sebelum ini pernah membuat pengakuan terbuka bahawa beliau menandatangani dokumen tersebut secara paksaan tanpa kerelaan, malah satu laporan polis telah dibuat.
“Oleh itu, isu berkenaan tidak boleh dianggap selesai semata-mata dengan menyatakan bahawa tandatangan Menteri Besar telah menjadikan proklamasi itu sempurna,” katanya. – 17 September, 2026
