HEADLINES

Wajibkan penggiat industri perfileman jadi ahli persatuan, mudahkan perlindungan Perkeso

Syarat itu menurut Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Datuk Jurey Latiff telah dibatalkan pada 2021 oleh CEO Finas ketika itu Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri

5:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dicadang kembali mewajibkan semua penggiat industri perfileman khususnya freelancer untuk menjadi ahli persatuan perfileman dalam usaha memastikan kumpulan itu dilindungi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia Datuk Jurey Latiff Rosli berkata sebelum ini, penguatkuasaan syarat keahlian pernah diwujudkan Finas di bawah syarat paducitra bahawa semua penggiat seni mesti menjadi ahli persatuan yang diiktiraf perbadanan itu.

“Ketika itu, syarat ini dikuatkuasakan apabila syarikat (perfileman) memohon sijil pengakuan penggambaran (SPP) sebelum menjalani penggambaran drama atau filem.

Saya juga telah menyusul perkara ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas Datuk Kamil Othman dan beliau akan membawa usul ini ke mesyuarat lembaga pengarah,” katanya kepada Bernama.

Syarat itu menurut Jurey Latiff telah dibatalkan pada 2021 oleh CEO Finas ketika itu Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Beliau berkata terdapat dua persatuan perfileman ketika ini iaitu Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang telah bertahun membayar caruman kepada Perkeso bagi ahli mereka.

“Mereka (kedua-dua persatuan) telah menguatkuasakan syarat setiap kali memperbaharui keahlian, setiap ahli hendaklah membayar sekali yuran pembaharuan ahli sekali gus mencarum kepada Perkeso,” katanya.

Rabu lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata skim Perkeso untuk pekerja dalam sektor perfileman termasuk freelancer akan diwujudkan untuk memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial termasuk pencen ilat.

Fahmi berkata langkah itu akan membolehkan penggiat industri perfileman yang kebanyakannya berdepan kesukaran keselamatan sosial termasuk isu pencen mempunyai perlindungan mencukupi.

Mengulas lanjut, Jurey Latiff berkata perhatian perlu diberikan kepada mereka yang bekerja sebagai freelancer yang tidak menjadi ahli mana-mana persatuan, sekali gus tidak mempunyai keahlian Perkeso.

Jurey Latiff berkata selain menjadi ahli persatuan perfileman dan ahli pencarum, Finas turut boleh mendapatkan data terutamanya jumlah sebenar penggiat seni di tanah air.

Senada dengan itu, pengarah seni Afandi Radzun Ismail yang juga seorang freelancer berpendapat kerajaan mempunyai kuasa mewajibkan penggiat seni mencarum kepada Perkeso melalui persatuan industri kreatif kerana caruman itu dapat menjaga kebajikan pekerja sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

“Seperti saya, saya lihat mencarum ini ada kepentingannya sebab kami tidak ada perlindungan selain daripada insurans yang disediakan Profima dan insurans persendirian,” katanya.

Beliau turut berpandangan penggiat seni perlu mengubah corak pemikiran tentang caruman yang disifatkan mahal dan perlu dibayar setahun sekali, sedangkan anggaran gaji bagi seorang freelancer dalam industri itu adalah antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan bergantung kontrak produksi.

“Di bawah saya, ada tiga orang dan saya telah mewajibkan serta menguruskan caruman mereka menerusi rakan-rakan di Profima kerana mereka yang akan menguruskannya melalui dalam talian sahaja. Profima sudah memberi kemudahan,” katanya. – 22 Disember, 2023

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related