HEADLINES

SPRM tegaskan tidak pernah keluarkan kenyataan rasmi tuduh Daim lakukan kesalahan

Kertas siasatan dibuka pada Februari 2023 berdasarkan maklumat Kertas Pandora

12:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Tun Daim Zainuddin telah pun melakukan sebarang kesalahan.

Namun dalam kenyataannya hari ini, SPRM memaklumkan, berhubung siasatan kes terhadap bekas Menteri Kewangan itu, SPRM telah membuka kertas siasatan pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

“SPRM ingin memperbetul fakta berhubung kenyataan Tun (Daim) mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum.

“Pada 7 Jun 2023, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

“Beliau telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023; 10 Ogos 2023; 11 September 2023; 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih),” katanya.

Menurut SPRM, Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Walau bagaimanapun katanya, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya, dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.

“Perlu ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

“Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan,” katanya.

Baru-baru ini, Daim menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bekerjasama untuk memburukkan namanya.

Sambil menafikan beliau tidak terlibat dengan tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram yang sedang disiasat, Daim yang dilantik sebagai Menteri Kewangan ketika tempoh pertama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, menyeru Anwar dan Azam untuk menghormati kedaulatan undang-undang.

Bekas orang kanan Dr Mahathir itu menambah yang beliau sedang berbincang dengan peguam dan akan mengambil ‘tindakan sewajarnya’ pada masa yang sesuai.

Daim, 85, mendakwa ramai tahu yang Anwar melihat dirinya sebagai ‘ancaman politik’ dan seorang ‘musuh yang perlu diburukkan namanya’.

Pada 22 Disember, Anwar berkata, pencegah rasuah harus dibenarkan untuk menjalankan siasatan ke atas ’rahsia terbuka’ mengenai rasuah kerana pemimpin kerajaan kelihatan seperti melindungi kesalahan besar.

Perdana Menteri berkata sedemikian apabila menjawab soalah pemberita tentang tindakan SPRM menyita Menara Ilham pada 18 Disember.

Menara itu adalah sebuah bangunan komersil yang dimiliki oleh Daim, berhubung dakwaan penglibatannya dalam kes membabitkan RM2.3 bilion dana awam pada 1990-an.

Pada 24 Disember lalu, ketika dihubungi Scoop, Azam berkata, SPRM akan memanggil Daim bagi siasatan terhadap perolehan pembelian-pembelian aset dan perniagaan milik tokoh konglomerat terkenal itu.

Dalam laporan media, Azam mengesahkan siasatan terhadap Daim oleh SPRM menjurus kepada perolehan pembelian-pembelian aset dan perniagaan milik Daim.

Sumber mendedahkan, siasatan itu menumpukan bagaimana pemilikan aset yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan itu dibuat dan sumbernya. – 30 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Qatar to host final stages of 2025 FIFA Confederations Cup for second year running

Tournament kicks off in Jeddah this September, with final three matches—including the decider featuring PSG—set for December in Qatar

Bangsar bars warn of 20% price hike as new alcohol tax looms

Bar owners say the upcoming 10% excise duty under Budget 2026 could squeeze margins, drive drinkers to cheaper alternatives, and push small operators to the brink

China break up Olympic champions to groom future stars

Olympic gold medallist Jia Yi Fan now partners Zhang Shu Xian in a bold move to mentor rising talent, as China strengthen their grip on women’s doubles badminton

Related