HEADLINES

SPR tiada perancangan laksanakan kajian semula persempadanan pilihan raya bagi Semenanjung, Sabah

Pelaksanaan persempadanan di Sarawak sedang dipertimbang, diteliti kesesuaiannya

10:14 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, namun bagi Sarawak pula, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut.

Katanya, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu, atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Bagi maksud tersebut, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi negeri-negeri di Semenanjung telah selesai dijalankan pada 2018 manakala bagi Sarawak dan Sabah pula adalah masing-masing pada 2015 dan 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa, sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pillhan raya Persekutuan dan negeri-negeri berlandaskan kepada prinsip dan tatacara yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Bahagian | dan Il, Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, prinsip-prinsip berhubung dengan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya adalah seperti berikut:
i. Kewajaran memudahkan diadakan bagi semua pemilih diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri;
ii. Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian;
iii. Bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian-bahagian pillhan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan; dan
iv. Perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan.

“SPR akan terus bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diberikan demi kepentingan rakyat dan negara ini. Semoga kita sentiasa diberkati dan dipermudah segala urusan pada Tahun Baharu 2024 ini. Marilah kita bersama-sama melangkah dengan lebih gagah, yakin dan berani dengan semangat dan iltizam baharu demi memastikan demokrasi di negara kita terus mekar dan subur,” katanya. – 1 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Govt to develop 102-acre Kota Madani in Putrajaya as model people-first city: PM

First phase to include 3,000 homes and high-rise school by 2027 under integrated urban plan 

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related