HEADLINES

‘Bila dapat tahu mak dah tak ada, terasa dunia gelap gelita’, Khai Bahar luah detik terakhir pemergian ibu tercinta

Khai bersyukur kerana Allah SWT permudahkannya untuk pulang ke Perlis daripada Langkawi dengan menaiki bot

8:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Permulaan tahun baharu 2024 sememangnya disambut dengan penuh duka oleh penyanyi, Khai Bahar apabila ibunda tercintanya, Rosnah Mohd pergi menyahut seruan Ilahi pada tanggal 2 Januari lalu.

Masih tidak dapat menahan sayu dan hiba, Khai sekali lagi mengungkap rasa terkilannya kerana tidak sempat menatap wajah ibunya itu buat kali terakhir.

“Baru minggu lepas, balik jumpa dan sambut hari jadi mak, tak sangka mak dah tak ada. Malah, adik, kakak dan abang yang jaga mak hari-hari di rumah pun tak sangka yang mak akan pergi sekelip mata.

“Mak pergi dengan sangat tenang tanpa beri sebarang tanda. Sebelum mak pergi, mak sempat minta air dengan kakak untuk kali terakhir.

“Lepas kakak bagi air, mak suruh letak atas meja nanti dia minum. Kakak naik ke atas tengok anak-anak. Tak sampai 15 minit, kakak turun dan nampak mak seolah-olah sedang tidur,” kata Khai dalam satu perkongsian di Instagramnya, sebentar tadi.

Menurut Khai, kakaknya itu kemudian cuba mengejutkan ibu bangun untuk minum, namun tidak bergerak.

“Kakak cuba untuk kejutkan lagi berkali-kali dan masih tak bangun. Kakak panggil adik turun untuk bantu kejut mak, mak masih tak bangun dan tak bergerak.

“Adik cuba pegang nadi mak, nadi mak dah tak berdenyut. Adik terus call ambulans dan bila dapat berita mak dah tak ada, terus adik hubungi saya.

“Masa itu saya baru nak makan, bila dapat tahu je mak dah tak ada, terus rasa dunia gelap gelita seolah-olah macam sedang bermimpi,” luahnya.

Jelas Khai, kawan-kawannya cuba menenangkan keadaan dirinya yang ketika itu sudah tidak dapat menahan emosi.

“Dan, saya cuba sedaya upaya cari jalan untuk pulang ke Perlis dari Langkawi. Alhamdulillah, Allah permudahkan semua.

“Dalam perjalanan naik bot, cuaca cantik sangat, bulan bintang terang, langit cerah, hati terasa sayu seolah-olah mak sedang tunggu saya di rumah.

“Doakan kami semua kuat untuk hadapi dugaan ini. Terima kasih yang mendoakan arwah mak saya. Minta jasa baik kamu semua sedekahkan al-Fatihah buat mak saya – Rosnah Binti Mohd,” katanya yang mengakui sangat menyayangi ibunya itu.
 
Allahyarham Rosnah yang baru sahaja meraikan ulang tahun ke-62 pada 25 Disember lalu, menghidap pelbagai penyakit seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati dan mula menjalani rawatan dialisis sejak awal tahun lalu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, Kangar, jam 12.15 tengah hari semalam.

Salam takziah buat Khai Bahar. Semoga tabah menghadapi dugaan ini. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa ibunya dan menempatkan arwah dalam kalangan orang-orang beriman. – 4 Januari, 2024

Topics

 

Popular

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Govt to develop 102-acre Kota Madani in Putrajaya as model people-first city: PM

First phase to include 3,000 homes and high-rise school by 2027 under integrated urban plan 

Related