HEADLINES

Kepung Demi Palestin: Tian Chua, 12 individu lain selesai beri keterangan

Bekas Ahli Parlimen Batu itu selaku penganjur Sekretariat Solidariti Palestin hadir bersama 12 individu lain pada jam 10.30 pagi dan selesai memberi keterangan satu jam kemudian

1:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seramai 13 individu selesai memberi keterangan berkaitan penganjuran solidariti untuk Palestin di Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju, pagi ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi Scoop.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua selaku penganjur Sekretariat Solidariti Palestin (SPP) hadir bersama 12 individu lain pada jam 10.30 pagi dan selesai memberi keterangan satu jam kemudian.

Menurut Tian Chua, pihaknya memberikan kerjasama baik kepada polis dan menjawab soalan berkaitan berkenaan piket yang berlangsung minggu lalu.

“Kebanyakan daripada kami datang pagi ini untuk tunjukkan kerjasama mengikut prosedur soal siasat.

“Segalanya berjalan dengan lancar dan kami yakin apa dilakukan pada Kepung Demi Palestin adalah hak kami yang dijamjn dalam Perlembagaan dan mengikut Akta Perhimpunan Aman.

“Sekiranya ada lagi siasatan kami rela untuk beri kerjasama,” katanya kepada media selepas selesai memberi keterangan di IPD Wangsa Maju.

Tian Chua berkata, himpunan yang dianjurkan itu tidak melanggar undang-undang negara dan menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

“Saya percaya apa yang kami lakukan adalah sah dan dilindungi di bawah undang-undang.

“Polis masih lagi menjalankan siasatan sama ada ia melanggar undang-undang atau tidak… ia masih terlalu awal untuk mengesahkannya,” katanya.

Antara yang hadir memberi keterangan adalah Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan; Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi dan peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Selain itu, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda; Presiden Sejagat, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan dan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Himpunan dianjurkan enam hari bermula 26 Disember lalu adalah inisiatif rakyat Malaysia yang peduli dengan krisis di Gaza yang mengorbankan kira-kira 21,822 penduduk Palestin setakat 31 Disember, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.

Solidariti berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat itu, sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

Himpunan itu membabitkan sebanyak 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar, selain kelompok politik daripada pelbagai spektrum. – 5 Januari, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related