HEADLINES

Gembira dalam duka, pasangan pengantin Gaza terpaksa berkahwin di khemah selepas kediaman musnah dibom

Kedua-dua keluarga mengeluarkan kos besar untuk persediaan perkahwinan mereka sebelum perang tercetus, malah Shahad membelanjakan lebih $2,000 untuk pakaian

11:51 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan pastinya memiliki keinginan untuk mengadakan majlis istimewa itu dalam situasi selesa dan sempurna.

Itu juga menjadi impian seorang pengantin lelaki di Gaza, Palestin, Mohammed al-Ghandour yang mahu mengadakan acara perkahwinan indah sebagai hadiah untuk pasangannya, Shahad.

Namun, ia tidak kesampaian selepas perang tercetus di kawasan berkenaan, sehingga mereka terpaksa meninggalkan kediaman minggu ini untuk meraikan majlis perkahwinan di dalam sebuah khemah.

Menurut laporan Reuters, memandangkan tarikh perkahwinan itu sudah ditetapkan, Ghandour membawa Shahad ke khemah itu yang sudah dihiasi lampu warna-warni dan cermin dengan bingkai berwarna emas, sambil diiringi beberapa saudara untuk meraikan acara berkenaan.

Pada acara itu, Shahad yang memakai gaun putih dan tudung rona sama dengan sulaman merah tradisional menghulurkan tangannya dan Ghandour menyarungkan cincin di jarinya.

“Saya mahukan parti. Saya mahukan sambutan, perkahwinan. Saya mahu menjemput rakan-rakan saya, saudara-mara dan sepupu lain saya juga, seperti pasangan lain,” kata Ghandour.

Pasangan itu berasal dari Bandar Gaza di utara wilayah kecil itu yang menyaksikan beberapa siri pengeboman paling teruk dilakukan Israel dalam pertempuran antara tenteranya dan Hamas sejak 7 Oktober tahun lalu.

Menurut pasangan itu, dalam serangan udara dilakukan Israel susulan peperangan terbabit, rumah kedua-dua keluarga Ghandour dan Shahad musnah sehingga mengakibatkan mereka kehilangan sepupu dan ahli keluarga.

“Kebahagiaan saya mungkin pada kadar tiga peratus sahaja susulan peperangan ini, tetapi saya perlu kuat untuk isteri saya. Saya mahu membuatnya bahagia,” kata Ghandour.

Mengulas mengenai perkahwinan itu, lelaki terbabit berkata, majlis perkahwinan mereka hanya dihadiri sekumpulan kecil saudara-mara kerana kebanyakannya sudah meninggalkan Gaza dan melarikan diri ke Rafah, iaitu kawasan terletak di hujung selatan semenanjung sebelah Mesir.

Ibu Shahad, Umm Yahia Khalifa mengetuai sekumpulan kecil wanita untuk meraikan perkahwinan itu dan ia diiringi muzik ringkas.

Manakala, bagi kenduri sebagai meraikan pasangan pengantin, mereka hanya mampu menyediakan makanan ringan dalam bungkusan plastik yang diletakkan dalam khemah.

Pada masa sama, pasangan itu berkata, kedua-dua keluarga mengeluarkan kos besar untuk persediaan perkahwinan mereka sebelum perang tercetus, malah Shahad membelanjakan lebih $2,000 untuk pakaian.

“Impian saya adalah untuk memberikan Shahad perkahwinan terbaik dan yang paling indah di dunia.

“Kami menyediakan barang perkahwinannya dan dia gembira. Tetapi semuanya hilang dalam serangan. Setiap kali dia ingat dia mula menangis,” katanya.

Ketika pesta perkahwinan cara kecil-kecilan itu diadakan dengan tepukan dan tarian keluarga serta saudara mara, mangsa peperangan itu yang menginap di barisan khemah di sekeliling kawasan sama turut melakukan tugas harian seperti biasa, seperti menyediakan makanan atau menyidai pakaian di kawasan dikelilingi dawai berduri yang didirikan sebagai pagar sempadan. – 20 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Football for All? Not at this World Cup – T. Vignesh

The 2026 Fifa World Cup was supposed to be football's biggest celebration yet

[WATCH] Sabah’s progress held back by federal influence and weak local unity: Junz Wong

Warisan leader argues state’s resource wealth has not translated into progress, pointing to political fragmentation and comparisons with Sarawak’s stronger cohesion

Police rescue teenagers forced into online sex scam syndicate in Johor

Two minors and one man were rescued in Op Bugil as police uncover abuse, forced labour and extortion by syndicate active since November

Related