HEADLINES

PAC bimbang isu kelewatan kemajuan pembinaan kapal tempur LCS: Mas Ermieyati

Tempoh kelewatan pembinaan kapal LCS tersebut tidak dapat didedahkan tetapi menggesa pemantauan rapi oleh Kementerian Pertahanan

4:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memandang serius isu kelewatan kemajuan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan memerlukan pemantauan kemajuan yang teliti serta berkala.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tempoh kelewatan pembinaan kapal LCS tersebut tidak dapat didedahkan buat masa ini, berikutan pematuhan di bawah Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, kemajuan projek pembinaan kapal LCS berkenaan sudah dimaklumkan kepada PAC hari ini, dalam Prosiding Tindakan Susulan Kementerian Pertahanan terhadap dua syor Laporan PAC sebelum ini.

“Pendedahan mengenai kelewatan pembinaan itu adalah suatu perkara yang mengejutkan dan ini membimbangkan PAC yang mahu kontraktor pembinaan kapal serta Pasukan Projek LCS mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Jawatankuasa ini, bagaimanapun menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak bahawa kementerian itu akan mengambil tindakan segera dalam memastikan isu kelewatan berkenaan dapat diatasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat PAC awal hari ini mendengar laporan daripada Kementerian Pertahanan mengenai kemajuan projek LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023, dan Jun hingga September 2023.

Selain Isham, turut hadir dalam prosiding tindakan susulan kapal LCS berkenaan adalah Ketua Pasukan Projek LCS, Laksamana Ir. Ts. Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard, Kapten Ir. (B) Azhar Jumaat.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, PAC dijangka membentangkan laporan mengenai prosiding dalam Laporan Tindakan Susulan Kementerian Pertahanan terhadap syor PAC berkaitan kapal LCS pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 26 Februari depan.

Katanya, jawatankuasa itu juga dimaklumkan bahawa kapal LCS 1 (KD Maharajalela) hanya akan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Oktober 2026.

“Dalam prosiding berkenaan, PAC turut dimaklumkan bahawa ujian yang diumumkan kepada media sebelum ini, yang dijangka dilaksanakan antara Mei dan Jun 2024 ini, adalah ujian peralatan yang perlu dilakukan kontraktor pembinaan sebaik kapal berada di atas air.

“Ujian itu bagi memastikan kapal LCS benar-benar bersedia sebelum diserahkan kepada TLDM,” katanya. – 24 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

RM1.3bil raised, but MEX II left incomplete with only RM30mil in the bank

With construction stalled, government mulls takeover as MACC probes RM416 million in alleged false claims 

More than 100 Foodpanda riders protest over low wages at company headquarters

New Google Maps-based system forces riders to make more deliveries to make ends meet

Related