HEADLINES

Kes Nik Elin cerminkan kedudukan mahkamah syariah kekal utuh, terjamin: Persatuan Peguam Syarie

Mahkamah Persekutuan memutuskan hanya 16 seksyen sahaja mereka bersetuju dengan hujah peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk isytiharkan tidak sah

5:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mencerminkan kedudukan mahkamah syariah di Malaysia kekal utuh dan terjamin kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, keputusan hari ini boleh dijadikan pencetus untuk memperkasakan lagi undang-undang syariah dan mahkamah syarie.

“20 seksyen yang dicabar ialah sebahagian daripada 68 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. Mahkamah Persekutuan memutuskan hanya 16 seksyen sahaja mereka bersetuju dengan hujah peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk isytiharkan tidak sah.

“Empat seksyen lain, mahkamah memihak kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mempunyai hak di sisi Perlembagaan untuk membuat undang-undang berkenaan.

“Masih banyak undang-undang syariah berkaitan mahkamah syariah yang digubal oleh DUN masih kekal utuh dan terjamin kedudukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan Nik Elin dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Selain itu, Musa berkata, dengan keputusan itu, kerajaan perlu segera mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh berkaitan dan semua pihak terlibat dengan mahkamah syariah.

“Ini untuk sama-sama menilai langkah ke hadapan bagi pemerkasaan mahkamah syariah, termasuk melakukan apa-apa pindaan undang-undang.

“Kerajaan telahpun menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam. Maka kita serahkan kepada jawatankuasa ini untuk mengemukakan cadangan berkaitan,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Zaid Ibrahim mengingatkan ahli dan pemimpin PAS serta Bersatu dan parti berteraskan Melayu lain bahawa agama Islam sudah terjamin dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, sistem perundangan sedia ada sudah mencukupi untuk undang-undang Islam diamalkan.

“Mahkamah syariah sudah mempunyai kuasa yang cukup untuk melakukan keadilan. Tidak perlu bermain politik dengan agama.

“Berkhidmatlah kepada umat Islam dengan baik, menjaga kesusahan mereka sekarang, menjadikan sistem semasa lebih cekap, dan lain-lain,” katanya dalam hantaran di aplikasi X.

Zaid menasihati ahli politik supaya tidak melanggar Perlembagaan negara dan memusnahkan rangka kerja yang diusahakan oleh pemimpin negara sejak tahun1957/1963 dengan tuntutan yang melampau untuk sistem Islam.

“Guna apa yang kita ada, dan terima hakikat kita adalah sebuah negara demokrasi (sebahagian daripadanya),” katanya.

Selain itu, beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu melindungi dan mengesahkan keluhuran Perlembagaan negara.

“Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah meletakkan dirinya dalam sejarah perundangan negara.

“Sama seperti yang dilakukan oleh John Marshall dalam mempertahankan kuasa Mahkamah Agung Amerika Syarikat untuk membatalkan undang-undang yang tidak berperlembagaan melalui semakan kehakiman,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Nik Elin atas keberanian untuk berpegang pada undang-undang negara. – 9 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Govt to develop 102-acre Kota Madani in Putrajaya as model people-first city: PM

First phase to include 3,000 homes and high-rise school by 2027 under integrated urban plan 

Related