HEADLINES

NGO kutip duit untuk Palestin perlu maklumkan berapa peratus yang diambil, jika tidak ia dosa besar: Dr Maza

"Saya cakap secara umum, kita cuba beri peringatan supaya orang tidak teraniaya. Yang menipu, kita tidak mahu dia bermaharajalela."

8:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan kutipan untuk Palestin perlu memaklumkan berapa peratus yang diambil oleh badan berkenaan kepada penderma, jika tidak ia adalah dosa besar.

Tanpa merujuk kepada mana-mana NGO, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, jika tidak dimaklumkan kepada penderma, maka ia merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan kepada mereka.

Sebaliknya dengan memaklumkan kepada penderma berapa jumlah yang diambil oleh NGO tersebut untuk kos-kos pengurusan dan pentadbiran, maka akan wujud akad antara penderma dan pengutip derma.

“Semua kita gembira jika ada orang yang nak membantu rakyat Palestin tetapi kita dukacita kalau ada yang mengambil kesempatan atas penderitaan mereka. Saya cakap secara umum, kita cuba beri peringatan supaya orang tidak teraniaya. Yang menipu, kita tidak mahu dia bermaharajalela.

“Bayangkan jika seseorang itu menderma RM1,000 tapi NGO terbabit mengambil 40 peratus. Jika penderma mengetahui wang derma mereka diambil sebanyak itu, sudah tentu mereka tidak akan menderma kepada ngo terbabit,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam video bertajuk Fikrah dan Hujah yang dimuatnaik di Facebooknya.

Meskipun Dr Maza tidak merujuk kepada mana-mana NGO, namun baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan sebanyak 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin).

Berikutan itu, Aman Palestin pada sidang medianya beberapa hari lalu memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbeku 41 akaun bank milik pertubuhan bukan kerajaan itu.

Ditanya mengenai pembelian jongkong emas untuk pelaburan, Dr Maza mempersoalkan kenapa wang yang didermakan itu disimpan sedangkan duit berkenaan boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan.

“Jika dia memaklumkan terlebih dahulu sedekah berkenaan untuk dilaburkan bagi masa depan Palestin, maka ia dibolehkan tetapi jika dilaburkan pada syarikat kawannya, jika syarikat itu guling, dengan duit sekali guling,’’ katanya.

Beliau turut memberitahu, peniagaan yang lebih hebat dan lebih mudah untuk mendapatkan wang adalah dengan menggunakan lambang Palestin.

“Apa lagi perniagaan yang lebih hebat dan lebih mudah, menggguna lambang palestin, penderitaan kanak-kanak yag dibom, modal hanya guna tabung atau sediakan akaun dan duit dalam tabung bertalu-talu (masuk) sampai 100 juta lebih,’’ soalnya. – 30 November, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related