HEADLINES

Keputusan bawa pulang Sirul Azhar akan dibincang: KPN

Ketua Polis Negara juga berkata bahawa tiada halangan untuk pihaknya bertemu dengan Sirul Azhar yang kini sudah bebas di Australia

7:59 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia akan berbincang dengan pihak yang berkaitan termasuk Peguam Negara dan mahkamah di negara ini, bagi membuat keputusan dalam membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan Sirul Azhar dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia, semalam.

“Kita akan bincang perkara ini dengan pihak yang berkaitan, kerana dia sudah dijatuhkan hukuman.

“Permohonan untuk bawa pulang perlu ditanyakan kepada pejabat Peguam Negara, kerana ini melibatkan kerajaan Malaysia dan Australia,” katanya dan menambah tiada halangan untuk pihaknya bertemu dengan Sirul Azhar yang kini sudah bebas di Australia.

“Kita ada pegawai di sana dan boleh jumpa Sirul Azhar sebenarnya, kerana dia sudah bebas,” katanya.

Media hari ini melaporkan, Sirul Azhar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya pada 2006, dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak Imigresen negara itu, sejak 2015.

Pembebasan Sirul Azhar susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November, yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri, selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh Altantuya.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan mengekalkan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap mereka.

Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia. Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Dia kemudiannya ditahan pegawai imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney. – 12 November, 2023

Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Malaysia risks missing World Cup 2026 as pressure mounts for Free-to-Air broadcast deal

Analysts urge urgent government intervention to secure accessible coverage of the FIFA World Cup 2026, warning that cost barriers could sideline fans and weaken the nation’s football culture

Related