HEADLINES

[KEMASKINI] Nahas udara Kapar: Dua mangsa disahkan terkorban, pesawat terbenam dalam tanah 45 peratus

Mayat kedua-dua mangsa, masing-masing juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon dan pembantunya, Roshaan Singh Raina ditemukan dalam kokpit bangkai pesawat

7:19 PM MYT

 

KAPAR – Dua mangsa pesawat yang terhempas dalam kejadian di Jalan Benteng Kanan, Kampung Tok Muda, Kapar, Klang hari ini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menerusi satu kenyataan sebentar tadi.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati pesawat menjunam ke dalam ladang kelapa sawit.

“Ia menyebabkan 45 peratus badan pesawat terbenam di dalam tanah,” katanya.

Menurut Hussein, berdasarkan senarai nama penumpang, mangsa yang terkorban adalah juruterbang, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina berusia 42 tahun.

Hussein berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.45 tengah hari, memaklumkan pesawat ringan yang dikenalpasti sebagai Gabriel BK160 kepunyaan Air Adventure Flying Club (AAFC) terhempas.

“Pesawat tersebut berlepas daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang jam 1.28 petang tadi.

“Pesawat itu terjunam dan terbenam lebih daripada dua meter dalam tanah.

“Pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berusaha mengeluarkan kedua-dua mangsa tersebut,” katanya.

Beberapa individu yang dipercayai keluarga mangsa tiba di lokasi kejadian pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang hari ini. – Sairien Nafis/Scoop, 13 Februari, 2024

Beliau berkata, seorang daripada mangsa adalah juruterbang yang berusia awal 30-an.

Seorang lagi mangsa, katanya, adalah pembantu juruterbang yang juga ahli AAFC berusia awal 40-an.

Menurutnya, kedua-dua mangsa akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat, sebelum proses pengecaman dilakukan ahli keluarga masing-masing.

“Siasatan akan dilakukan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara dari Kementerian Pengangkutan.

“Polis juga akan membuka Kertas Enkuiri Polis berkenaan nahas pesawat ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussein memaklumkan, kedua-dua mangsa itu disahkan sebagai lelaki warga tempatan dan ditemui dalam kokpit bangkai pesawat pada jam 2 petang.

“Mangsa masing-masing dari Johor dan Pulau Pinang, mungkin mereka menetap di Selangor tapi itu masih dalam siasatan.

“Pesawat sedang melakukan penerbangan rekreasi sebelum terhempas. Operasi mengeluarkan mangsa dijangkakan akan mengambil masa tiga jam dan akan tamat malam ini,” tambah Hussein.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan yang dua individu berada di dalam pesawat itu, termasuk seorang juruterbang.

Tiada panggilan kecemasan diterima daripada pesawat ringan Gabriel BK160 itu sebelum ia terhempas, kata CAAM.

Ia dikatakan terhempas pada petang ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima laporan tentang nahas itu pada 1.56 petang, sebelum anggota bomba tiba di lokasi 20 minit kemudian. – 13 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

AFC: Australia, South Korea, Kuwait in the running for 2035 Asian Cup

The governing body will review bids for both the 2031 and 2035 Asian Cups, with decisions expected at its annual congress later this year

Reconciliation talks between Malay and Indian NGOs showcase Malaysia’s unity: Ramanan

Human Resources Minister praises interfaith dialogue as a testament to the country’s maturity in rejecting provocation

Maimunah Sharif resigns as KL mayor, to take on new federal role

Kuala Lumpur Mayor Datuk Seri Maimunah Sharif has stepped down and is expected to take on a new role in the federal government, in what sources describe as a planned administrative reassignment rather than a performance-related move

Related