HEADLINES

Ramai percaya Taylor Swift terlibat teori konspirasi pemilihan semula Biden sebagai Presiden AS

Kira-kira 46 peratus responden mengatakan mereka telah mendengar teori konspirasi itu dan 18 peratus mengatakan mereka mempercayainya

3:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hampir seorang daripada lima rakyat Amerika Syarikat (AS) percaya bintang Pop, Taylor Swift terlibat dalam teori konspirasi kerajaan itu untuk membantu Joe Biden memenangi Pilihan Raya Presiden 2024.

Perkara itu didedahkan menerusi tinjauan dijalankan Universiti Monmouth yang disiarkan semalam.

Menurut tinjauan tersebut, kira-kira 46 peratus responden mengatakan mereka telah mendengar teori konspirasi itu dan 18 peratus mengatakan mereka mempercayainya.

Daripada mereka yang mempercayai teori tersebut, 71 peratus dikenal pasti sebagai penyokong parti Republikan dan 83 peratus lagi penyokong bekas Presiden, Donald Trump.

Kira-kira 73 peratus juga percaya keputusan Pilihan Raya Presiden AS pada 2020 adalah satu penipuan.

Teori konspirasi tidak masuk akal dan tidak berasas yang boleh dipertikaikan itu dipopularkan oleh media sayap kanan menjelang perlawanan Super Bowl ke-58 pada 11 Februari lalu, di mana Swift datang untuk menyokong pasukan Kansas City Chiefs, yang menyaksikan teman lelakinya, Travis Kelce beraksi.

Media mendakwa, hubungan Swift dan Kelce juga ‘direka’ oleh kerajaan dan sebahagian daripada konspirasi.

Keputusan perlawanan dikatakan telah ‘ditentukan’ dengan kemenangan diberikan kepada Kansas City Chiefs, sekali gus memberikan platform lebih kuat buat Swift untuk membantu Biden terpilih kembali.

Walaupun pemenang Anugerah Grammy tersebut menyokong Biden menjelang pilihan raya 2020 dan menggalakkan peminatnya untuk mengundi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tidak ada sebarang bukti untuk menyokong teori konspirasi itu.

“Konspirasi Taylor Swift PsyOp seperti mempunyai kaki dalam kalangan sebilangan besar penyokong Trump.

Malah, ramai yang tidak pernah mendengar mengenai perkara itu sebelum kami melakukan tinjauan, menerima perkara tersebut sebagai sesuatu yang boleh dipercayai,” kata Pengarah Institut Pengundian Bebas Universiti Monmouth, Patrick Murray.

Sementara itu, apabila mempersoalkan sama ada Swift harus menggalakkan peminatnya untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang, 68 peratus rakyat AS bersetuju dengan idea itu.

Ini terbahagi antara sokongan kuat dalam kalangan penyokong parti Demokrat (88 peratus) dan sokongan lemah daripada Republikan (42 peratus).

Ditanya secara umum sama ada mereka mempunyai tanggapan yang baik terhadap Swift, 39 peratus berpendapat sedemikian manakala hanya 13 peratus berpandangan sebaliknya.

Kira-kira 43 peratus responden berkata, mereka tidak mempunyai pendapat mengenainya, manakala lima peratus berkata, mereka tidak mengenali penyanyi tersebut.

Sebanyak 22 peratus daripada 902 responden menggelarkan diri mereka peminat Swift, manakala hanya enam peratus akan menggambarkan diri mereka sebagai ‘Swifties’. – 15 Februari, 2024

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related