HEADLINES

Pengamal perubatan tradisional dan komplementari dikecualikan cukai perkhidmatan 8%

Pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan PT&K antara usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat

5:07 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang berdaftar di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 [Akta 775] akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan 8%, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Selagi mereka berdaftar dengan akta di bawah Kementerian Kesihatan, mereka akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2024,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas hari ini.

Sehubungan dengan keputusan itu, beliau berkata, pengamal PT&K yang telah berdaftar dengan akta tersebut tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan seterusnya tidak mengenakan cukai bagi perkhidmatan seperti perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.

“Kementerian Kewangan juga bersetuju supaya keputusan tersebut terpakai ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat yang seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K yang berdaftar dengan Akta 775 bagi perkhidmatan di atas untuk tempoh sebelum 1 Мас 2024,” katanya.

Amir Hamzah berkata, ini adalah susulan keputusan Kementerian Kewangan agar perkhidmatan disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya yang dikendalikan pengamal PT&K berdaftar dengan akta tersebut tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024.

“Maklum balas ini juga telah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri PT&K,” katanya.

Beliau berkata, pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan PT&K ini antara usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani dan diterapkan dalam kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

“Keputusan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah langkah untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, Kerangka Ekonomi Madani juga akan giat memperkasakan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja di Malaysia,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan akur bahawa jauh lagi landasan untuk melebarkan sayap PMKS tempatan ke persada antarabangsa.

“Maka pengusaha tersebut memerlukan kebergantungan permintaan domestik untuk kemandirian perniagaan mereka buat masa ini, lebih-lebih lagi bagi PMKS yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” katanya. – 19 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Grab’s RM9.9bil impact: How the platform fuels Malaysia’s economy

A new report shows the ride-hailing giant contributed 0.5% of GDP in 2023, supporting over 277,000 earning opportunities across the country

Rainforest Youth Summit 2025 returns to Kuching to bolster climate leadership in Southeast Asia

Over 700 young delegates gather in Sarawak for regional summit blending Indigenous wisdom, policy action, and environmental resilience

Muhyiddin sudah ‘hilang kawalan’ parti perlu reformasi segera: Saifuddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ‘hilang kawalan’ dan Bersatu berisiko kehilangan hala tuju sekiranya parti itu tidak menjalankan reformasi dengan segera, kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah. Beliau yang dipecat daripada...

Related