◉ HEADLINES

Bunuh isteri: Bapa lima anak terlepas hukuman gantung, dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

Menurut peguam, wujud keraguan serius sama ada kecederaan atau terdapat perkara lain menyebabkan kematian berikutan laporan kimia dan bedah siasat jelas menunjukkan terdapat dadah dalam darah serta hempedu si mati

5:31 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Bapa lima anak terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh isterinya, lima tahun lalu.

Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim yang menolak rayuan bekas pendawai elektrik, Taufeeq Mohsein Ahmad Tahir, 38, berkata, sabitan terhadap perayu adalah selamat.

Hadhariah yang membacakan keputusan sebulat suara berkata, saksi pendakwaan ke-12 (SP12) dan SP13, yang merupakan anak kepada tertuduh dan si mati adalah saksi mata dan Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat dapatan fakta bahawa kedua-dua saksi itu adalah saksi yang boleh dipercayai.

Mengenai hukuman, hakim itu berkata, mahkamah mengguna pakai Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) yang memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman mati atau penjara.

“Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikan dengan hukuman penjara 30 tahun dari tarikh tangkap (7 Julai 2019) dan 12 sebatan rotan,” kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Taufeeq Mohsein merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Jun 2022 yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya selepas didapati bersalah membunuh Siti Noorasny Md Zain di PPR Desa Tun Razak, Cheras antara 8 malam, 6 Julai 2019 hingga 2.48 pagi, keesokannya (7 Julai 2019), mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, peguam M. Manoharan yang mewakili Taufeeq Mohsein berhujah tiada bukti menunjukkan dua beradik itu (SP12 dan SP13) melihat kejadian yang berlaku kerana kedua-dua saksi tersebut tidak dapat memastikan apa yang berlaku pada hari berkenaan.

Menurut peguam itu, wujud keraguan serius sama ada kecederaan atau terdapat perkara lain yang menyebabkan kematian si mati berikutan laporan kimia dan bedah siasat jelas menunjukkan terdapat dadah pada darah dan hempedu si mati.

“Si mati adalah penagih dadah dan kemungkinan dadah yang diambil oleh si mati boleh menyebabkan kematian,” katanya yang mengendalikan kes bersama peguam Johan Ariff dan M.Hariharan.

Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang pula berhujah bahawa terdapat 51 kecederaan pada si mati dan ia disokong oleh keterangan SP11 iaitu pakar patologi yang melakukan bedah siasat ke atas tubuh si mati.

“SP11 dalam keterangannya berkata corak kecederaan pada si mati disebabkan oleh objek tumpul seperti buluh pelita dan bukan kerana si mati terjatuh sendiri. SP11 berpendapat punca kematian si mati adalah ‘multiple blunt force trauma to the body’,” katanya.

Eyu berkata, keterangan daripada SP12 dan SP13, yang merupakan saksi kanak-kanak, menunjukkan bapa mereka memukul, menumbuk dan menendang si mati.

“SP12 melihat perayu memegang buluh pelita dan memukul si mati dengan buluh pelita itu manakala SP13 melihat bapanya menumbuk dan menendang ibu mereka,” katanya. – 26 Februari, 2024

Topics

 

◉ Hangat

MCA gets four seats in Melaka polls, predicts tough fight in DAP strongholds

Initially given two seats, last-minute negotiations within Barisan Nasional now lands MCA with the staunchly DAP seats of Kota Laksamana and Bandar Hilir

79 candidates to fight for 28 seats in Melaka polls

Besides notable incumbents defending their seats such as Melaka CM Datuk Seri Ab Rauf Yusoh and Melaka Pakatan chief Adly Zahari, the Prime Minister’s political secretary Datuk Azman Abidin will contest his maiden election in Paya Rumput

Penugasan baharu Shuhaily dalam PDRM belum diputuskan : KPN

Mohd Khalid berkata sebarang tugasan dan tindakan susulan terhadap Shuhaily hanya boleh diambil selepas beliau kembali ke PDRM, namun setakat ini belum ada keputusan dibuat

◉ Related