HEADLINES

Hanya penggunaan kadar elektrik lebih RM219 akan terlibat dengan kenaikan SST 8%

Peningkatan kadar SST itu tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini

7:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hanya penggunaan kadar elektrik melebihi 600 kilowatt sejam (kWj) atau bersamaan dengan kadar RM219.80 akan terlibat dengan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada 8% mulai 1 Mac ini.

Menteri Kewangan ll, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagaimanapun berkata, hampir 85% pengguna elektrik berada di bawah ambang berkenaan dan tidak terkesan dengan kenaikan cukai itu.

“Cukai Perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peningkatan kadar SST itu tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.

“Sebagai contoh, perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6%.

“Ini termasuklah perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6%. Bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, Cukai Perkhidmatan tidak akan dikenakan,” katanya.

Cukai Perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat – Azim Rahman/Scoop, 28 Februari, 2024

Beliau berkata, kenaikan itu juga menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan (‘business-to-business’ B2B).

“Ini bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.

“Bagi menjayakan transformasi ekonomi, kerajaan mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara.

“Meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, kerajaan perlu menimbangkan ini dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Pada masa sama, kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI),” katanya.

Beliau berkata, sistem percukaian yang ditambah baik dijangka meraih tambahan hasil yang dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada negara.

Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan (‘business-to-business’ B2B) – Gambar Bernama, 28 Februari, 2024

“Hasil tambahan ini dapat dimanfaatkan untuk menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat selain memperbanyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya,” katanya.

Tambahnya, menurut Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari lalu, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan Cukai Perkhidmatan pada kadar lapan peratus.

“Ini termasuklah perkhidmatan bercukai yang diimport dan perkhidmatan digital,” katanya.

Katanya, di samping itu, liputan Cukai Perkhidmatan turut akan diperluas bagi menyelaras dan memberi layanan cukai sama rata ke atas perkhidmatan tertentu dalam industri yang sama.

“Sebagai contoh, pusat karaoke yang berunsur hiburan akan dikenakan Cukai Perkhidmatan sebanyak 8%, sama seperti pusat-pusat hiburan lain yang merangkumi kelab malam, dewan tari menari, kabaret dan pusat kesejahteraan.

Perkhidmatan broker dan penajajaminan, yang kini hanya dikenakan kepada perkhidmatan kewangan sahaja, akan diperluas kepada perkhidmatan-perkhidmatan industri broker lain seperti broker kapal/kapal terbang, komoditi dan hartanah,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus berkuat kuasa pada 1 Mac ini. – 28 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

[WATCH] ‘I’m not chasing money’: Shahmalarani Chandran on life in non-Olympic sport and the cost of elite commitment

National karate athlete Shahmalarani Chandran has opened up about the financial challenges faced by athletes in non-Olympic sports in Malaysia, saying her journey has been driven by passion, discipline and personal growth rather than financial reward, as she continues to balance elite competition with coaching and teaching responsibilities

Related