HEADLINES

Agong kurnia X90 kepada Ketua Polis Negara, pegawai kanan Istana Negara

Seri Paduka Baginda sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan dan jururawat

7:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Proton X90 kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan pegawai-pegawai kanan Istana Negara, bagi mengiktiraf sumbangan serta khidmat cemerlang mereka.

Turut menerima kurniaan berkenaan ialah Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan pegawai agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh.

Selain itu, turut menerima kurniaan kereta daripada Seri Paduka Baginda ialah bekas Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kurniaan daripada Seri Paduka Baginda itu disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Zailani Hashim di Istana Negara, di sini hari ini.

“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan keluarga Diraja Johor menerusi Yayasan-yayasan Diraja Johor telah mengurniakan pelbagai sumbangan dalam membantu rakyat yang memerlukan.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan 10,000 paket beras percuma seberat 10 kilogram di Johor, tahun lalu dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Selain daripada kurniaan dan sumbangan menerusi Yayasan-yayasan Keluarga Diraja Johor kepada rakyat jelata, Seri Paduka Baginda juga memberi kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas,” menurut hantaran itu.

Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan dan jururawat.

Pada 2010, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Proton Suprima kepada semua pegawai daerah di Johor pada 2018.

Dalam menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan, Seri Paduka Baginda juga pernah mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, pada September 2020.

“Seri Paduka Baginda juga pernah mengurniakan Proton X70 kepada tiga doktor sebagai penghargaan di atas khidmat mereka dalam pasukan perubatan Istana Johor pada 2021,” menurut hantaran itu. – 8 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Malaysia breaks 11-year losing streak against Vietnam with impressive 4-0 victory

The national team showed effective teamwork and fast-paced plays that kept their opponents under pressure

Malaysia pulls the plug on Kuwaiti Hornet deal after years of turbulence

RMAF walks away from costly, outdated aircraft amid rising concerns over integration, support, and long-term value

TMJ slams ‘politically motivated’ FIFA ban on Malaysian players

Johor regent says FIFA’s sanctions against seven naturalised players were based on “misapplied laws” and driven by hidden agendas

Related