HEADLINES

Banjir kilat di Shah Alam, Klang berlaku sebelum pembinaan projek LRT3 dimulakan

Nasser berkata, projek pembinaan LRT3 memenuhi syarat pembangunan dan sudah mengemukakan laporan kajian permodelan hidraulik dan hidrologi

9:00 AM MYT

 

SHAH ALAM – Kejadian banjir kilat yang melanda Shah Alam dan Klang berlaku sebelum projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dimulakan pada awal 2017.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Nasser Salim berkata, antara faktor utama banjir kilat di negeri itu adalah disebabkan pembuangan sampah di dalam sistem peparitan dan pembukaan atau perubahan tanah secara tidak terancang serta perubahan iklim yang melanda global.

“Pembuangan sampah ke dalam sistem peparitan akan menyebabkan kapasiti saliran tidak mencukupi disebabkan oleh sekatan aliran untuk air hujan mengalir ke sungai.

“Pembukaan atau perubahan tanah secara tidak terancang turut menyebabkan kapasiti saliran sedia ada tidak mencukupi untuk menampung tambahan kapasiti air larian permukaan,” katanya ketika temubual eksklusif bersama Scoop, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembinaan projek LRT3 yang sering disalahkan apabila banjir kilat berlaku di Selangor.

Mengulas lanjut Nasser berkata, projek pembinaan LRT3 sudah memperoleh kelulusan untuk pembinaan projek dan turut melalui fasa penyediaan laporan kajian permodelan hidraulik dan hidrologi ke atas cadangan sistem saliran yang akan dibina di tapak.

Katanya, laporan kajian itu antara syarat yang perlu dipenuhi pemaju yang berhasrat untuk membangunkan lot tanah di negeri itu bagi memastikan bencana banjir dapat elakkan.

“Kajian itu perlu mengambil kira reka bentuk sistem takungan air, rainfall intensity (keamatan hujan) dan peak discharge estimation bagi memastikan kawalan air dari out-source dapat dibuat dan projek pembangunan tanah tidak memberi impak banjir pada masa hadapan.

“Di mana-mana kemajuan termasuk (projek) LRT dan lain-lain pembangunan, biasanya pemilik yang akan membangunkan sesuatu projek itu kita akan syaratkan mereka mengemukakan satu laporan kajian pemodelan hidraulik dan hidrologi.

“Untuk makluman, projek LRT3 tidak terkecuali untuk turut mengemukakan laporan kajian tersebut. Maknanya kajian permodelan hidraulik dan hidrologi ini telah mengambil kira reka bentuk sistem takungan air (di tapak projek),” katanya.

Memandangkan LRT Laluan Shah Alam menyediakan akses ke Pelabuhan Klang, pelabuhan ke-13 paling sibuk di dunia, ia akan menambah kapasiti luar biasa kepada rangkaian pengangkutan sedia ada dan memberi manfaat 74,000 penumpang serta 500,000 penduduk. – Gambar LRT3, 11 Mei, 2024

Ujarnya lagi, sekiranya pemaju mematuhi syarat ditetapkan, setiap projek yang dibangunkan termasuk pembinaan LRT3 di negeri itu akan berjalan dengan lancar.

“Kalau dia jaga syarat-syarat ditetapkan, tak ada isu tentang itu (masalah air bertakung). Kalau semua ikut, InsyaAllah segalanya boleh berjalan dengan lancar,” katanya.

LRT3 atau kini dikenali sebagai LRT Laluan Shah Alam, dibangunkan untuk menghubungkan penumpang dari koridor barat Lembah Klang dengan mempunyai 20 stesen dan bakal mula beroperasi menjelang Mac 2025.

Memandangkan LRT Laluan Shah Alam menyediakan akses ke Pelabuhan Klang, pelabuhan ke-13 paling sibuk di dunia, ia akan menambah kapasiti luar biasa kepada rangkaian pengangkutan sedia ada.

Kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada 74,000 penumpang dan 500,000 penduduk dengan menambah baik kesalinghubungan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

Pengurangan dan kecekapan masa perjalanan sudah pasti akan menambah peningkatan kualiti hidup.

Nasser berkata, JPS Selangor ketika ini sedang merangka maklumat untuk menentukan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga sistem perparitan yang belum diketahui ‘penjaganya’. – Alif Omar/Scoop, 11 Mei, 2024

Dalam pada itu, Nasser berkata, JPS Selangor ketika ini sedang merangka maklumat untuk menentukan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga sistem perparitan yang belum diketahui ‘penjaganya’.

“Ada juga sistem saliran belum tahu siapa pemiliknya, sama ada ia di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), JPS, JKR atau majlis. Yang itu menjadi pertikaian juga. Di situ kadang-kadang ada masalah mengenai siapa yang akan jaga.

“(Jadi) Untuk itu kita ada satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim untuk tackle (menangani) isu berkaitan saliran yang tak jelas mengenai siapa yang bertanggungjawab.

“Kita dah mula merangka maklumat untuk tentukan siapa yang akan bertanggungjawab. Itu akan diputuskan jawatankuasa dan akan dibawa ke majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk meluluskan agensi yang akan melaksanakan tugas berkaitan saliran yang tidak jelas ‘penjaganya’,” katanya. – 11 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Five more suspects arrested in RM4.6 mil Genting casino chip heist

Police have tracked down five local men, including the mastermind of the RM4.6 million casino chips heist at Genting Highlands on October 28, believed to be the largest chips robbery in the highland resort’s history.

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Related