◉ HEADLINES

Lestarikan semula budaya membaca antara faktor Afdlin Shauki hasilkan novel Papadom

Novel Papadom karya Afdlin yang memiliki 158 muka surat akan dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL) hari ini

2:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selain mahu melestarikan semula budaya membaca dalam kalangan masyarakat, produser, pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki berharap novel pertamanya, Papadom akan dapat menjadi bahan koleksi yang mampu disimpan peminatnya.

Itulah antara faktor yang mendorong Afdlin menghasilkan novel Papadom yang diangkat daripada filem karya dan arahannya dengan tajuk sama yang pernah ditayangkan di pawagam pada 2009 serta meraih lima anugerah termasuk Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22.

Afdlin ketika ditemui Scoop berkata, dia memilih untuk mengadaptasikan filem Papadom dalam bentuk novel kerana kisahnya itu dekat di hatinya.

“Idea untuk menghasilkan Papadom timbul sewaktu saya dan bekas isteri, Christina Orow sedang bercuti. Ketika itu, saya bertanya kepada diri saya, apa yang akan terjadi kepada diri saya, jika suatu hari nanti dia tiada.

“Siapa yang nak jaga anak-anak saya? Sebab saya ini sangat workaholic (kuat bekerja). Ketika itulah saya mula berfikir dengan lebih mendalam lagi.

“Proses itu sangat memanusiakan dan ia juga satu pencarian jiwa yang jujur. Itulah yang menyebabkan terlahirnya Papadom yang mana saya dapat menjadi seorang bapa yang saya harapkan dan menjadi seorang bapa yang ideal di dalam fikiran saya,” katanya.

Afdlin yang juga Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) serta Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Media Sdn Bhd turut berkongsi pengalamannya menghasilkan novel yang pertama itu.

Afdlin bersama pelakon dan penerbit filem, Sharifah Shahora (kiri), Chelsia Ng (dua, kanan) serta pengarang majalah Big Issue, Abie Abdullah. – Ellyna Ali/Scoop, 1 Jun, 2024

“Proses menulis novel ini bermula pada tahun lepas. Ia tidak begitu sukar kerana saya sudah pun memiliki skrip filem Papadom ini.

“Namun, menulis skrip filem dan menulis novel, kaedahnya berbeza. Bila kita menulis skrip filem, kita tidak perlu menjelaskan segalanya dengan lebih mendalam kerana ia mampu dizahirkan melalui visual dan bahasa filem yang kita hasilkan dan penonton pula akan memiliki pelbagai pandangan mereka sendiri.

“Berbeza dengan penulisan novel. Kita harus mencipta emosi, suasana, persekitaran di dalam karakter dan penceritaan yang diketengahkan agar pembaca akan faham kenapa penciptaan semua ini dilakukan dan mereka akan membaca pandangan yang dibuat oleh penulis,” katanya.

Jelas Afdlin, menulis bukanlah suatu kesukaran baginya kerana dia memang seorang penulis.

“Tapi, untuk kembali menulis semula selepas banyak menghasilkan skrip filem perlukan sedikit masa untuk kita ‘adjust’ semula corak penulisannya,” katanya.

Novel Papadom karya tulisan Afdlin yang memiliki 158 muka surat ini akan dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL) hari ini. – 1 Jun, 2024

Topics

 

◉ Popular

Zacharevic sues AirAsia over “Kids on Bicycle” copyright

Internationally renowned artist Ernest Zacharevic has filed a High Court suit against AirAsia and Capital A, alleging unauthorised use of his iconic mural on aircraft livery and promotional campaigns

Hauliers raise rates as fuel surge tightens pressure on logistics sector

Cost pass-through hits refrigerated and specialised cargo hardest amid record diesel prices

Nasi Kandar, mee Jawa among 28 Penang dishes gazetted as intangible cultural heritage

Also gazetted under state’s heritage enactment laws are cultural elements such as ‘nasi kandar culture’, ‘ kopitiam culture’, the Chingay Parade and Thaipusam Festival.

◉ Related