HEADLINES

Lebuhraya SPE tiada keretakan, selamat: Alexander

Namun, KKR tetap mengarahkan alat pengesan keretakan dipasang di tiang lebuh raya itu bagi mengesan sebarang pergerakan atau retak

5:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan tiada keretakan dikesan di tiang jejambat Lebuhraya Setiawangsa – Pantai (SPE) di Jalan Cheras di sini, seperti didakwa individu tertentu.

Beliau turut memberi jaminan kepada semua penguna jalan raya bahawa laluan itu selamat digunakan.

Malah, katanya, pihak konsesi dan jurutera profesional yang turut meninjau dan melakukan pemeriksaan di tiang itu, mengesahkan tiada keretakan di struktur berkenaan.

“Kekecohan isu ‘keretakan’ yang didakwa berlaku di tiang jejambat Lebuhraya SPE, memang meresahkan pengguna jalan raya. Dari Kapit, saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur bagi melihat sendiri keadaan ditularkan.

“Bersama pasukan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuhraya SPE, saya naik sendiri ke kren setinggi 16.1 meter, bagi melihat dengan lebih dekat serta menyentuh kesan dikatakan retakan di tiang jejambat terbabit.

“Pihak konsesi dan jurutera profesional yang turut bersama mengesahkan tiada keretakan di tiang. Saya memberi jaminan kepada semua penguna jalan raya bahawa laluan ini selamat digunakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Alexander berkata, walaupun berpuas hati dengan keadaan itu, beliau tetap mengarahkan ‘crack monitoring meter’ (alat pengesan keretakan) dipasang di tiang terbabit, bagi mengesan sebarang pergerakan atau retak.

Katanya, alat itu akan dipasang sebulan bagi memantau keadaan tiang jejambat dan laporan disediakan LLM.

Pada masa sama, beliau memberikan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan aduan berhubung perkara berkenaan.

“Selari semangat MYJalan yang didukung KKR, saya berharap masyarakat akan terus berganding bahu bersama kami dalam menjadi mata dan telinga, bagi mengetengahkan apa saja isu kerosakan infrastruktur rakyat.

“Seperti selalu saya tekankan, tiada kompromi apabila melibatkan nyawa rakyat,” katanya.

Manakala, syarikat konsesi Lebuhraya SPE menerusi kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dan siasatan terperinci mendapati kesan retak pada persimpangan bertingkat di laluan itu sebenarnya kesan hitam di atas permukaan konkrit ‘crosshead’ (silang).

Terdahulu, tular perkongsian seorang pemilik akaun X mengenai kemungkinan terdapat keretakan di tiang jejambat lebuh raya itu, berdasarkan foto didakwa dirakam pada April lepas dan bulan ini.

Perkongsian itu sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai, terutama pengguna lebuh raya berkenaan.

Dibuka sepenuhnya pada 3 November lalu, Lebuh Raya SPE mempunyai laluan dua hala, dengan masing-masing tiga lorong dan tujuh persimpangan bertingkat. – 9 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Amarjit Singh elected UCI vice-president, a first for the nation

Cycling chief vows to strengthen Asia’s voice in global sport after historic win in Kigali

Anwar refutes report of Malaysia ceding 5,207 hectares to Indonesia

PM stresses negotiations will proceed harmoniously, denying reports of 5,207 hectares ceded

Section 233 of CMA serves purpose in multiracial society: Federal Court

Activist Heidy Quah also notes ‘higher threshold’ and ‘narrow’ application of law to protect democratic dialogue and truth-seeking

Related