HEADLINES

Sultan Pahang saran kerajaan segera tentukan tahap keselamatan Jalan Kuantan-Segamat

Ini kerana statistik Polis Diraja Malaysia merekodkan 65 kes kemalangan dengan 79 orang maut di jalan berkenaan dalam tempoh lima tahun

10:14 PM MYT

 

KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan Kerajaan Persekutuan supaya membantu kerajaan Pahang dalam mengambil tindakan segera bagi menentukan tahap keselamatan Jalan Kuantan-Segamat, Rompin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata Al-Sultan Abdullah bertitah ini kerana statistik Polis Diraja Malaysia merekodkan 65 kes kemalangan dengan 79 orang maut di jalan berkenaan dalam tempoh lima tahun dari 2020 hingga kini.

“Antara punca dikenal pasti adalah letih, mengantuk dan kecuaian. Kemalangan perlu dielakkan di jalan raya terutama sekali apabila aliran trafik bertambah di musim perayaan, cuti persekolahan dan cuti umum.

“Justeru, satu tindakan pantas perlu diambil oleh semua pihak berwajib bagi mengelakkan ia  (kemalangan) berulang kembali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Zahari berkata Sultan Pahang pada masa sama mengingatkan pengguna supaya lebih berwaspada dengan memandu secara berhemah dan berhati-hati selain berada dalam keadaan yang sihat dan cukup rehat bagi mengelak hilang kawalan atau ‘microsleep’.

Dalam pada itu Mohamed Zahari berkata Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat, awal pagi semalam. 

Beliau berkata baginda berdua menzahirkan rasa sedih dan dukacita serta berharap agar seluruh ahli keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan itu. 

“Bagaimanapun baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana 36 ahli rombongan yang terdiri daripada guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Melaka selamat dan hanya mengalami kecederaan serta mendoakan semoga mereka dikurniakan kesembuhan segera,” katanya.

Dalam kejadian itu, empat maut selepas bas persiaran yang dalam perjalanan membawa rombongan SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras terlibat dalam kemalangan.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan SK Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60, dan guru Dahlia Ahmad, 52. – 10 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related