◉ HEADLINES

Hayati kesederhanaan ibadah haji, jangan terpukau kemewahan dunia: Anwar

Perdana Menteri turut mendoakan agar jemaah yang kini berada di Tanah Suci beroleh haji mabrur dan pulang ke tanah air dengan sejahtera

12:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam menghayati mesej kesederhanaan yang ditekankan dalam ibadah haji.

Perdana Menteri berkata, penghayatan mesej itu penting supaya umat Islam sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.

“Peluang mengembara ke Makkah untuk menunaikan haji adalah antara kurniaan besar Ilahi kepada hambaNya. Kita mengenang manasik haji sebagai satu daripada rukun Islam.

“Namun seyogia diingat, haji mempunyai maqasid kerohanian tersendiri bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana,” katanya menerusi perutusan sempena Aidiladha hari ini.

Anwar berkata, tonggak kekuatan ibadah haji yang tidak ditandingi, terpancar menerusi penghayatan dan amalan.

Justeru, katanya umat Islam tidak boleh terpesong daripada tujuan kerana dunia hanya menjadi jambatan untuk menuju ke negeri abadi.

“Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan.

“Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan supaya tidak melupakan golongan asnaf di kota dan desa ketika umat Islam meraikan kemeriahan Aidiladha.

“Kongsilah nikmat tuhan bersama mereka dan bahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban,” katanya.

Selain itu, beliau turut mendoakan agar jemaah yang kini berada di Tanah Suci beroleh haji mabrur dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera. – 17 Jun, 2024

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Inside the Bandar Utama school tragedy: a timeline of the shocking fatal stabbing

A look at the events surrounding the stabbing of a 16-year-old student, with ongoing investigations into the suspect's motives and the role of online violence

Four Malaysia Airlines flights cancelled, two more diverted amid heightened US-Iran tensions

Destinations involved were Doha and Jeddah following flight advisory on airspace risks, governments issue travel warnings to avoid Iran

◉ Related