◉ HEADLINES

3 lelaki ditahan miliki senjata bahaya, peralatan polis

Dengan tertangkapnya kumpulan itu, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan menyamar sebagai pegawai polis di sekitar daerah Ipoh

9:33 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki kerana didapati memiliki senjata berbahaya dan peralatan polis secara tidak sah di kawasan Sungai Senam, Ipoh, Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek berumur antara 27 dan 37 tahun.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing menunjukkan kesemua suspek yang juga warga tempatan itu positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphatamine.

“Kira-kira jam 6.10 pagi Jumaat, kami menerima maklumat daripada orang awam terdapat sebuah kenderaan yang mencurigakan di kawasan Sungai Senam.

“Bertindak atas maklumat yang diperolehi, polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dinaiki oleh tiga lelaki warga tempatan,” katanya dalam kenyataan, awal pagi tadi.

Abang Zainal Abidin berkata, hasil pemeriksaan fizikal serta kenderaan berkenaan, mendapati kesemua suspek memiliki senjata berbahaya dan peralatan polis secara tidak sah.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai sembilan rekod kesalahan jenayah dan empat rekod kesalahan dadah.

“Suspek kedua pula mempunyai sembilan rekod kesalahan jenayah dan satu rekod kesalahan dadah manakala suspek ketiga mempunyai enam rekod jenayah dan sembilan rekod kesalahan dadah,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 89(A) Akta Polis.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya kumpulan itu, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan menyamar sebagai pegawai polis di sekitar daerah Ipoh.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membeli dan memiliki senjata berbahaya serta memiliki secara tidak sah peralatan yang dibekalkan kepada polis kerana ia boleh disabitkan dengan kesalahan undang-undang,” katanya. – 22 Jun, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

◉ Related