HEADLINES

Hantaran papar Qunut Nazilah minta doakan PM, menteri ditimpa musibah, Jakim lapor MCMC

Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan pengguna media sosial terbabit yang meminta doa buruk seperti itu bertentangan dengan ajaran Islam

4:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai perkongsian di sebuah akaun TikTok yang memaparkan bacaan Qunut Nazilah, berserta permintaan supaya orang ramai mendoakan musibah ke atas Perdana Menteri dan menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan pengguna media sosial itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Katanya, sekiranya terdapat perbezaan pandangan atau pendapat sekali pun, perkara itu boleh dizahirkan melalui cara betul dan beradab.

“Pagi ini saya terima satu (video) TikTok mengenai Perdana Menteri yang agak menyedihkan dan mengecewakan, di mana video terbabit berdoa menggunakan Qunut Nazilah untuk menimbulkan rasa kebencian kepada kepimpinan sedia ada.

“Justeru, berhubung tindakan pengguna media sosial ini, Jakim menyerahkan kepada MCMC untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas akaun itu.

“Kita akan minta MCMC menilai kandungan berkenaan dan terpulang kepada pihak berkuasa itu mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Zon Utara di Ipoh, hari ini.

Na’im menegaskan, walau sejauh mana perbezaan pandangan seseorang, tidak sepatutnya sampai ke tahap mendoakan perkara buruk seperti itu dan menggunakan perkataan tidak sepatutnya.

Tegasnya, selaku masyarakat, tidak sepatutnya ijtihad dan usaha yang dibuat seseorang pemimpin ditafsirkan begitu teruk, sehingga memerlukan seseorang membaca Qunut Nazilah serta bertindak buruk.

“Mengadakan doa supaya pemimpin dilaknat bukan ajaran agama kita. Nabi Muhammad SAW mengajar berkasih sayang dan sekiranya (ada) berbeza pandangan, apatah dengan pemimpin seagama kita, sepatutnya kita zahirkan biarlah dengan adab dan cara betul,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat di TikTok memaparkan tulisan yang mendoakan agar Allah menimpakan bala serta laknat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Doa terbabit turut dituju kepada Menteri Kabinet serta penyokongnya, dengan hantaran itu menggunakan muzik latar bacaan Qunut Nazilah yang dilagukan. – 13 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related