◉ HEADLINES

Jangan terbawa-bawa kemenangan Nenggiri ke Mahkota: Tok Mat

Mohamad Hasan berkata setiap pilihan raya adalah berlainan terutama dalam mengambil kira faktor demografi sesuatu tempat

7:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak terbawa-bawa dengan kemenangan di Nenggiri ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian bagi mengingatkan jentera BN bahawa setiap pilihan raya adalah berlainan terutama dalam mengambil kira faktor demografi sesuatu tempat.

“Kita jangan terbawa-bawa dengan menang 3,000 lebih undi semasa PRK Nenggiri, kita rasakan bahawa PRK Mahkota pun boleh menang selesa.

“Kita perlu tahu, di Nenggiri itu kawasan luar bandar dan penduduknya hampir 99 peratus ialah orang Melayu, dan di Mahkota ia merupakan kawasan bandar yang penduduknya berbilang kaum iaitu Melayu sebanyak 57 peratus, kaum Cina (34 peratus) dan juga India tujuh peratus.

“Ia merupakan kawasan pengundi yang mempunyai latar belakang berbeza daripada Nenggiri. Pengundi juga mempunyai perbezaan pendapat,” katanya pada program Ziarah Kasih DUN Kota di Rembau, hari ini.

Mohamad turut memaklumkan, memandangkan jumlah pengundi muda berumur bawah 40 tahun di DUN Mahkota lebih 50%, jadi pendekatan berkempen perlu berbeza iaitu menepati kehendak pengundi.

“Pengundi muda selalunya dipengaruhi media sosial, maka sudah pasti BN dan jentera daripada Kerajaan Perpaduan perlu menguatkan kempen dalam gerak kerja di media sosial,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 September manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemilihan calon, Mohamad berkata Umno Bahagian Kluang dan Badan Perhubungan Umno Johor diminta mengemukakan senarai pendek nama calon berkaliber untuk dinilai.

“Insya-Allah, dari segi pemilihan calon kita ada ramai yang berkaliber dalam BN, namun kita akan memilih seorang calon yang dapat memenuhi cita rasa pengundi di Mahkota nanti,” katanya. – 30 Ogos, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Lower assessment rates for PJ properties, but up to 25% higher quantum due to property value

MBPJ set to review real estate taxes for 2025, 33 years after last revision

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Malaysia Airlines steps up Europe flights to help stranded travellers

Extra services to London and Paris launched in response to global disruptions

◉ Related