HEADLINES

TNB cadang naik kadar tarif elektrik mulai Julai 2025

TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj

10:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencadangkan kadar tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), mulai 1 Julai 2025.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata, di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan ialah pada 39.95 sen/kWj.

“Sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

“Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014, akan terus berkuat kuasa, tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun, 2025,” katanya.

Menurut TNB, kadar pulangan kawal selia dikekalkan pada 7.3% seperti di bawah RP3.

Ia akan membolehkan firma utiliti itu membuat pelaburan penting dalam industri, memastikan bekalan elektrik yang terjamin dan berterusan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

TNB memaklumkan kos penjanaan kekal sebagai komponen terbesar tarif elektrik, dengan gas dan arang batu terus menjadi sumber bahan api utama untuk penjanaan elektrik sepanjang tempoh ini.

Katanya, kos penjanaan tambahan hasil daripada harga bahan api yang lebih tinggi untuk bekalan elektrik akan dilepaskan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

“TNB kekal neutral dalam hal ini dan tidak akan ada kesan ke atas operasi perniagaan atau  kedudukan kewangan syarikat,” lapor Bernama.

Menurutnya, perbelanjaan modal yang dibenarkan ialah RM42.821 bilion, terdiri daripada perbelanjaan modal asas sebanyak RM26.554 bilion dan perbelanjaan modal luar jangka RM16.267 bilion.

“Jumlah perbelanjaan modal yang dibenarkan bagi RP4 dijangka membawa manfaat ekonomi yang besar ke arah merangsang ekonomi negara dan menyediakan rangkaian elektrik untuk memudahkan agenda peralihan tenaga negara,” kata TNB.

Manakala perbelanjaan operasi yang dibenarkan ialah sebanyak RM20.782 bilion, yang menyokong perancangan dan pelaksanaan aktiviti operasi serta penyelenggaraan yang diperlukan untuk semua infrastruktur elektrik TNB.

TNB berkata keputusan untuk melaksanakan RP4 adalah bukti komitmen kerajaan terhadap rangka kerja IBR, yang menjadi tonggak kemampanan dan kestabilan industri bekalan elektrik.

“Melalui pelaksanaan RP4 di bawah IBR, TNB komited untuk memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan terjamin kepada pelanggan, meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memudahkan agenda peralihan tenaga negara,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan RP4 di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dari Januari 2025 hingga Disember 2027.

Firma utiliti nasional itu berkata keputusan tersebut dimaklumkan menerusi surat daripada Suruhanjaya Tenaga (EC) kepada TNB bertarikh 24 Dis, 2024. – 26 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Malaysia pulls the plug on Kuwaiti Hornet deal after years of turbulence

RMAF walks away from costly, outdated aircraft amid rising concerns over integration, support, and long-term value

Related