HEADLINES

PH tidak terlibat himpunan solidariti Najib, kata Anwar

5:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) tidak terlibat dalam Himpunan Solidariti Najib Razak, yang dijadualkan pada Isnin ini, di Putrajaya.

“Isnin ini ada apa? Kena tanya Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

“PH tidak terlibat,” katanya ringkas selepas lawatan dan makan tengah hari di pusat penjaja Lestari Niaga Madani @ Wirawati di Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Isnin ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Perdana Menteri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Ia turut mendapat perhatian PAS, yang akan turut serta dalam Himpunan Solidariti tersebut, dengan memo dalaman yang tular dalam parti itu telah menggesa ahli-ahlinya supaya turun memberikan sokongan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau bersedia menjadi perantara untuk meredakan perselisihan antara Zahid dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Anwar yang juga Pengerusi PH menyifatkan perselisihan antara kedua-dua pemimpin berkenaan sebagai bukan perkara yang akan menjejaskan kerjasama antara gabungan politik dalam Kerajaan Madani.

“Kita akan redakan. Soal Guan Eng (berselisih pendapat dengan Ahmad Zahid) kita akan redakan.

“Kalau sikit-sikit (Guan Eng mengemukakan kenyataan sensitif), tak ada masalah (beliau) mahu buat statement (kenyataan),” katanya.

Zahid sebelum ini mengingatkan Guan Eng supaya tidak menyinggung Umno.

Ia selepas pemimpin DAP itu dilaporkan mengingatkan Umno bahawa sebarang program bersama parti pembangkang khususnya PAS termasuk dalam himpunan itu akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung pengampunan dan pengurangan hukuman.

Perdana Menteri berkata, titah itu perlu dibaca dan dihadam.

“Titah tuanku kena baca, kena hadam dan terima perintah… kena baca (titah Sultan Ibrahim),” katanya.

Terdahulu, Istana Negara memaklumkan permohonan bagi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan oleh banduan yang terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong. – 3 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Umno will remain part of Unity govt until GE16: Zahid

Party president says wary of being "bitten by the same snake for the second time" on collaborating with opposition parties

AFC: Australia, South Korea, Kuwait in the running for 2035 Asian Cup

The governing body will review bids for both the 2031 and 2035 Asian Cups, with decisions expected at its annual congress later this year

Pearly Tan ruled out of Uber Cup 2026 with recurring back injury blow

Malaysia’s Uber Cup hopes take a hit as women’s doubles ace Pearly Tan withdraws due to a recurring back injury, forcing a last-minute reshuffle in the national squad

Related