HEADLINES

Tambang bas sekolah: ‘cukup sekadar RM5 hingga RM10’ kata persatuan

Persatuan merasakan lebih rasional dan bertimbang rasa untuk menaikkan tambang sebanyak RM5 hingga RM10 maksimum, tidak boleh lebih daripada itu

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengusaha bas sekolah yang bercadang menaikkan tambang pada tahun ini memadai dengan kenaikan dalam lingkungan RM5 hingga RM10 sahaja untuk seorang murid, kata Persatuan Gabungan Pengusaha Pemandu Bas Sekolah Malaysia.

Menurut pengerusinya, M. Muruga kepada Scoop, persatuan memahami keresahan ibu bapa yang sering kali dibebani dengan isu kenaikan tambang bas sekolah setiap kali sesi persekolahan baru dibuka.

“Sebagai pengusaha bas sekolah, kita perlu ingat bahawa golongan ibu bapa ini sebenarnya adalah majikan kita. Jika setiap tahun tambang naik dah tentu mereka tidak bersetuju, apa lagi dengan kenaikan kos sara hidup masa kini.

“Cuba bayangkan kalau mereka mempunyai anak yang ramai, sudah tentu kenaikan mendadak ini akan membebankan.

“Justeru persatuan merasakan adalah lebih rasional dan bertimbang rasa untuk menaikkan tambang sebanyak RM5 hingga RM10 maksimum, tidak boleh lebih daripada itu,” katanya kepada Scoop.

Media sebelum ini melaporkan, kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka naik susulan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan itu terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.

Malah pada November lalu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia (BSM), Mohd. Haron Mohamad Sidik berkata, kenaikan itu dijangka antara 25 hingga 30% berikutan peningkatan kos alat ganti dan gaji minimum selain persaingan daripada pengusaha haram yang semakin berleluasa.

Dalam pada itu, Muruga tidak menafikan kenaikan itu terpaksa dilakukan disebabkan kebanyakan pengusaha tidak mempunyai pendapatan pada bulan November dan Disember berikutan cuti sekolah.

Disebabkan itu, rata-rata pengusaha berpendapat ia wajar dinaikkan bagi ‘menampung’ ketiadaan pendapatan tetap pada dua bulan tersebut.

Beliau juga memberitahu, persatuan itu telah menghantar memo kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan pemberikan bantuan kepada pengusaha bas sekolah yang selama ini sering ‘diabaikan’.

Menurutnya, memo tersebut sudah diserahkan pada awal November tahun lalu, namun sehingga kini ia masih belum dijawab.

“Dalam memo itu, kami merayu supaya kami juga dibantu sama seperti pemberian bantuan kepada nelayan semasa musim tengkujuh.

“Kami memohon agar bantuan disalurkan melalui APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat), dengan itu pihak kami dapat memastikan bantuan dapat sampai kepada ahli persatuan di tempat masing-masing sahaja.

“Dengan cara ini, ia dapat menarik minat pengusaha bas lain untuk mendaftar sebagai ahli persatuan,’’ katanya.

Tterdapat kira-kira 15,000 pengusaha bas di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak namun hanya 3,000 yang berdaftar dengan Persatuan Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia.

Untuk rekod, sejak 2015, ketetapan kadar tambang tidak lagi dikawal selia oleh kerajaan dengan tujuan untuk menjadikan industri bas sekolah lebih mapan serta mutu perkhidmatan dipertingkat dari aspek keselamatan dan keselesaan murid. – 17 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

My candidacy not because of ‘close ties’ with Syed Saddiq: Abe Lim

Muda’s Bandar Utama candidate Abe Lim has brushed aside speculation that she was fielded as a candidate due to rumours of her “close ties” with party president Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Online scams in Malaysia cost victims over RM3.18bil in less than three years

Rising threat of online scams in Malaysia: understanding, prevention and legal responses

Related