HEADLINES

Ia 5.6%, bukan 47%: Zafrul nafi dakwaan Trump ke atas import AS

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) telah bertemu dengan Duta Besar Amerika Syarikat bagi mendapatkan penjelasan

12:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Malaysia telah memaklumkan kepada Duta Besar Amerika Syarikat (AS) bahawa negara ini tidak pernah mengenakan tarif sebanyak 47% ke atas import barangan AS sambil menegaskan bahawa angka sebenar sepatutnya hanya 5.6%.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata beliau telah bertemu dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, bagi mendapatkan penjelasan berhubung cara angka itu dikira oleh pihak AS.

Beliau berkata Miti telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk bertemu dengan industri dan pengeksport yang terlibat bagi membantu menangani “keputusan unilateral untuk mengenakan tarif” oleh AS.

“Malaysia mahu terus menjadi rakan dagang yang boleh dipercayai kepada semua negara, termasuk rakan tradisi kita seperti Amerika Syarikat dan China,” kata Zafrul pada sidang media khas mengenai isu tarif AS di Miti, hari ini.

AS sebelum ini mendakwa Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47% ke atas import dari AS dan sebagai tindak balas mengenakan tarif ‘balas’ sebanyak 24% ke atas produk Malaysia yang dihantar ke Amerika Syarikat.

Zafrul turut memberitahu, pasukan petugas itu adalah untuk menguruskan tarif AS, menyasar untuk mengumpul maklum balas daripada kalangan pihak berkepentingan utama termasuk wakil daripada sektor swasta.

“Pasukan petugas itu berusaha untuk meminimumkan kesan tindakan unilateral AS terhadap eksport dan pelaburan Malaysia,” katanya.

Beliau juga memberitahu, kerajaan sedang melaksanakan langkah kukuh untuk mengurangkan kesan tarif AS ke atas Malaysia dengan beberapa langkah sedang diambil.

Ia termasuk langkah oleh MITI untuk mengatasi implikasi tarif yang dikenakan oleh AS.

 “Antaranya adalah pengaktifan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC), dengan MITI sedang menjalankan kajian impak sektor yang menumpukan kepada sektor eksport utama ke AS. Hasil dapatan itu akan dibentangkan kepada NGCC, yang dijangka bersidang tidak lama lagi,” katanya.

Zafrul juga memberitahu, Esok MITI akan bermesyuarat dengan wakil-wakil dewan perindustrian dan persatuan eksport selain bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Kita akan melakukan segala yang mungkin dalam mempertimbangkan semua pilihan untuk memastikan kesejahteraan industri, perniagaan dan rakyat kita,” katanya – 7 April, 2025

Topics

 

Hangat

KPDN to enforce Hari Raya price controls from March 14 to 28

Festive Season Maximum Price Scheme covers 27 essential items, while new subsidies and discounts aim to ease the cost of living

Addictive social media algorithms threaten children’s safety and development : Fahmi

Digital platform algorithms function as a “secret source” to ensure users repeatedly return to the applications, posing a far greater danger to children, who cannot regulate their own usage

Umno will remain part of Unity govt until GE16: Zahid

Party president says wary of being "bitten by the same snake for the second time" on collaborating with opposition parties

Related