HEADLINES

Syarikat telekomunikasi diarah selesaikan masalah capaian internet secara bulanan: Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi berkata, perkara itu adalah tindakan susulan selepas perjanjian perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G 6 Hala dimeterai

7:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi diarahkan supaya menyelesaikan masalah capaian internet mengikut negeri secara bulanan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perkara itu adalah tindakan susulan selepas perjanjian perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G 6 Hala dimeterai.

“Hasrat saya adalah (berasaskan) dasar ada jalan, di situ ada internet, dan kita mampu lakukan kerana syarikat telekomunikasi telah menandatangani perjanjian persefahaman yang membolehkan mereka membuat perkongsian rangkaian iaitu MOCN 4G 6 Hala.

“Langkah seterusnya adalah pengarahan bulanan kepada semua telekomunikasi untuk menyelesaikan masalah internet mengikut negeri satu demi satu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perjanjian MOCN 4G 6 Hala itu telah dimeterai pada Mei tahun lepas dan telah mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerana syarikat telekomunikasi perlu membangunkan infrastruktur yang membolehkan mereka bekerjasama.

Ketika ditanya mengenai masalah capaian internet di Ayer Kuning, Perak Fahmi berkata beberapa lokasi yang mengalami masalah capaian internet rendah telah dikenal pasti termasuk di perkampungan Orang Asli.

Beliau berkata masalah capaian internet itu hanya melibatkan beberapa syarikat telekomunikasi.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan arahan dan pada Ahad lepas, saya telah minta supaya satu penyelesaian dikenal pasti.

“Syarikat telekomunikasi telah memaklumkan bahawa mereka telah melakukan beberapa program pengoptimuman untuk memastikan kawasan terlibat mendapat capaian yang sederhana, bukan yang terbaik, belum yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata dalam pada itu, MCMC telah minta syarikat telekomunikasi terlibat mengemukakan penyelesaian jangka masa panjang.

Fahmi berkata aduan mengenai masalah capaian internet rendah bukan sahaja diterima melibatkan Ayer Kuning malah juga banyak kawasaan lain, sehingga menganggap aduan itu seperti aduan runcit.

“Oleh itu, saya minta MCMC meneliti data sedia ada melalui aplikasi Nexus iaitu data dalaman dan melalui penyedia perkhidmatan seperti Ookla yang dapat mengenal pasti lokasi capaian internet lemah dan mengeluarkan arahan kepada syarikat telekomunikasi setiap bulan bagi setiap negeri.

“(Lihat) ini kawasan-kawasan yang mengalami capaian internet rendah, lemah dan mereka (syarikat telekomunikasi) perlu melakukan penyelesaian segera,” katanya.

Beliau berkata isu pada masa ini adalah syarikat telekomunikasi hanya menunggu aduan masalah capaian internet.

“Kita akan tukar daripada menantikan aduan kepada ‘inilah senarai yang perlu kamu (syarikat telekomunikasi) siapkan untuk bulan ini’,” katanya.

Ahad lepas, Fahmi mengarahkan semua syarikat telekomunikasi supaya mengemukakan penyelesaian terhadap masalah capaian Internet lemah di seluruh negara atau berdepan tindakan tegas. – 15 April, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

It’s not Big Tobacco, but Big Pharma that’s behind vape ban push: industry leader

Move president warns of harm to public health and legal vape industry if proposed nationwide ban goes ahead

PIDM: Building resilience to safeguard your deposits

PIDM protects up to RM250,000 per depositor per member bank and up to RM500,000 for takaful and insurance benefits. For health-related insurance, PIDM protects 100% of your healthcare benefits.

Related