KUALA LUMPUR – Penambahbaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadualkan berkuatkuasa 1 Mei tahun ini, seperti yang diumumkan pada Bajet 2025, ditangguhkan pada tarikh lain.
The Star melaporkan, jurucakap Kementerian Kewangan berkata sesi libat urus dengan pelbagai industri di seluruh negara telah selesai dijalankan bagi memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.
“Garis panduan dan skop kini sedang diperhalusi untuk memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,’’ katanya, yang memetik jurucakap Kementerian Kewangan.
Dalam pembentangan Bajet 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025.
Menurut Anwar, berkata cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat, sebaliknya dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport sebagai contoh ikan salmon dan avocado.
Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, tambah Anwar, kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan.
Sementara Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada November tahun lalu memberitahu penambahbaikan SST dianggar menjana hasil sebanyak RM51.7 billion pada 2025.
“Unjuran itu menunjukkan peningkatan jangkaan sebanyak RM5 billion daripada unjuran kutipan SST semasa sebanyak RM46.7 bilion.
“Daripada jangkaan tambahan RM5 bilion itu, RM2.2 bilion adalah daripada kutipan cukai jualan, manakala RM2.8 bilion daripada kutipan cukai perkhidmatan,’’ katanya. – 29 April, 2025
