HEADLINES

Solat Jumaat bersama bunian, pejabat mufti perlu siasat dakwaan: Umno Kedah

Kenyataan itu bukan sahaja tidak masuk akal, malah membuka ruang kepada penyelewengan akidah dan mencemarkan kefahaman umat Islam mengenai ibadah yang paling asas, kata Ketua Penerangan Umno Kedah

1:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pejabat Mufti Kedah digesa untuk menyiasat kenyataan tular dakwaan solat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) yang dikaitkan dengan seorang individu bergelar tokoh agama negeri itu.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak masuk akal, malah berpotensi besar membuka ruang kepada penyelewengan akidah, mencemarkan kefahaman umat Islam mengenai ibadah yang paling asas.

“Umno Kedah menggesa Pejabat Mufti Negeri Kedah untuk segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran dakwaan ini.

“Siasatan dan penjelasan rasmi perlu dibuat secara berani, telus dan tanpa rasa takut terhadap sebarang tekanan politik atau sentimen luar,” katanya hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Pejabat Mufti Kedah tidak harus gentar terhadap sebarang tekanan politik atau persepsi awam dalam menjalankan amanah mereka sebagai pihak berautoriti dalam hal ehwal agama Islam di negeri itu.

“Institusi agama seperti Pejabat Mufti tidak boleh dibiarkan dibayangi oleh ketakutan terhadap reperkusi politik.

“Jika sesuatu yang salah tidak ditegur hanya kerana individu itu ada pengaruh atau
pengikut, maka kita sedang merosakkan agama dari dalam.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa UMNO Kedah sedia berdiri teguh mempertahankan institusi Pejabat Mufti Kedah daripada sebarang tekanan politik yang cuba mengganggu tugas mereka dalam menjaga kesucian agama Islam dan mendidik masyarakat dengan ilmu yang sahih.

“Kenyataan yang meragukan seperti ini, jika dibiarkan tanpa tindakan, hanya akan membuka ruang kepada penyelewengan aqidah dan kekeliruan berpanjangan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Agama Islam tidak boleh dipermainkan atas nama karamah atau cerita sensasi. Jangan kompromi dengan kebatilan,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video ceramah seorang tokoh agama terkenal di Kedah baru-baru ini yang berkongsi cerita seorang wali dikenali ‘Pak Su Mid’ bersembahyang bersama bunian di sebuah pulau di tengah laut.

Ceramah itu turut mendapat teguran Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkan ada tokoh agama di Kedah yang menggunakan Asyairah Maturidiyah untuk menghalalkan perkara-perkara pelik. – 1 Mei, 2025

Topics

 

Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related