HEADLINES

Nahas FRU: Lima anggota masih di hospital, pemandu lori batu didakwa pindah lembu curi pula

Peguam mohon jaminan dikurangkan atas pemandu lori yang berdepan 10 pertuduhan termasuk kes kemalangan yang membabitkan anggota FRU

4:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lima anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan membabitkan kenderaan pasukan dengan lori muatan batu di Teluk Intan minggu lalu, masih menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Hilir Perak, Bakri Zainal Abidin berkata daripada jumlah itu tiga masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Teluk Intan (HTI) manakala seorang lagi di wad biasa hospital berkenaan.

“Dua anggota di ICU HTI dalam keadaan sedar dan diberikan bantuan pernafasan sementara seorang lagi menjalani prosedur pembedahan sejak pagi tadi,” katanya lapor Bernama hari ini.

Bakri berkata seorang lagi anggota yang menerima rawatan di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, berada dalam keadaan sedar dan diberikan bantuan oksigen.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memberi bantuan sokongan emosi kepada sembilan waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam,Teluk Intan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menawarkan bantuan kaunseling pada bila-bila masa untuk keluarga mangsa.

“JKM sejak awal lagi sudah berada di lapangan memberi bantuan dari segi kaunseling untuk mendampingi mereka dan keluarga … malah bantuan kewangan awal juga telah disampaikan sebelum ini.

“Setakat ini, hasil dapatan yang kita terima daripada kaunseling, keluarga waris menunjukkan perkembangan positif, ” katanya kepada pemberita selepas menziarah keluarga mangsa di FRU Unit 5, Sungai Senam di sini hari ini.

Sementara itu, pemandu lori yang berdepan tuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan menolong menyembunyikan harta curi iaitu dua ekor lembu, bulan lepas.

Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memindah hantar yang disedari sebagai harta curi, iaitu seekor lembu jantan warna hitam baka KK Cross dan seekor lembu jantan warna putih baka Brahman milik Rozali Ismail, 66, dari tempat asal iaitu di kebun Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Mohd Hafizuddin Khan Norkhan yang mewakili Rudi Zulkarnain, memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya berdepan 10 pertuduhan termasuk kes kemalangan yang membabitkan anggota FRU, selain tertuduh tidak mempunyai pendapatan kerana lesen telah digantung dan kedua-dua lembu tersebut telah diserahkan kepada mangsa.

Majistret Naidatul Athirah Azman kemudiannya membenarkan lelaki itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada Jumaat, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU, 13 Mei lalu.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 terhadap pemandu lori tersebut dan jaminan berkenaan dibayar oleh majikannya dengan seorang penjamin semalam. – 20 Mei, 2025

Topics

 

Hangat

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Five more suspects arrested in RM4.6 mil Genting casino chip heist

Police have tracked down five local men, including the mastermind of the RM4.6 million casino chips heist at Genting Highlands on October 28, believed to be the largest chips robbery in the highland resort’s history.

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Related