HEADLINES

Kongres PKR: Beri ruang, masa kepada pemimpin tewas pemilihan, perpaduan dalam parti masih utuh

PKR kena lakukan 'gencatan’ melibatkan semua pemimpin dalam tempoh enam bulan untuk meredakan ketegangan dan menilai kesetiaan pemimpin yang tewas dalam pemilihan, kata penganalisis

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Usai pemilihan pimpinan pusat PKR tahun ini, terbit seruan agar semua pihak memberi ruang dan masa kepada calon yang tewas dalam pemilihan untuk bertenang dan memproses keputusan dengan baik.

Malah dalam mana-mana pertandingan, termasuk perebutan jawatan Timbalan Presiden, menjadi perkara biasa untuk ada pihak yang kecewa.

Nurul Izzah Anwar kini bergelar Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR). – Gambar Irwan Shafrizan Ismail/Scoop, 24 Mei, 2025

Pemimpin veteran PKR, R Sivarasa berpandangan, mana-mana proses demokrasi, dalam pertandingan, ada satu pihak menang dan satu lagi kalah — namun hakikat itu bukanlah pengakhiran kepada perpaduan dalam parti.

“Ada yang terguris hati dan terkesan secara emosi, itu perkara biasa dalam proses demokrasi.

“Apa yang penting sekarang ialah beri mereka masa. Saya percaya mereka akan kembali dan menyumbang seperti biasa,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau yang lebih 20 tahun bersama PKR, menegaskan bahawa semangat perpaduan dalam parti kekal utuh meskipun berlakunya pertandingan sengit antara dua kem dalam pemilihan lalu.

“Kita dengar sendiri, hampir semua ucapan pemimpin baharu semasa kongres menyeru kepada penyatuan. Ini bukti perpaduan PKR masih kuat,” katanya.

Rafizi Masih Diperlukan

Ditanya mengenai masa depan Datuk Seri Rafizi Ramli yang tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden, beliau berkata pimpinan tertinggi parti telah menyatakan kesediaan untuk terus membuka ruang kepada Rafizi untuk kekal bersama dan menyumbang dalam parti.

“Isyarat daripada kepimpinan atas jelas — mereka mahu Rafizi terus bersama. Tapi kita tidak boleh paksa. Keputusan itu terserah kepada beliau,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama mantan Timbalannya Datuk Seri Rafizi Ramli (kiri) semasa menyempurnakan gimik perasmian Kongres Nasional PKR 2025 di Persada Johor International Convention Centre, semalam. – Gambar Bernama, 24 Mei, 2025

Beliau turut mengingatkan bahawa tumpuan utama parti kini ialah kembali kepada perjuangan asas iaitu membela rakyat dan memenangi pilihan raya akan datang, bermula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan seterusnya Pilihan Raya Umum ke-16.

“Kemenangan bukan untuk kuasa semata-mata, tetapi supaya misi parti untuk rakyat dapat dilaksanakan. Demokrasi mesti terus diperkasa, kebajikan rakyat diutamakan dan kekayaan negara diagih dengan adil,” katanya.

Mengulas analisis pihak tertentu yang mendakwa pemilihan ini akan melemahkan parti, beliau menolak dakwaan itu dan menegaskan bahawa kekuatan PKR bukan bergantung kepada individu semata-mata.

“Kita pernah lalui lebih dahsyat — Langkah Sheraton, perpecahan besar — tapi PKR tetap bertahan. Kita pernah kehilangan pemimpin besar, tapi perjuangan kita tidak terhenti,” katanya lagi.

Tambah beliau, peningkatan penglibatan golongan muda dan wanita dalam Kongres PKR kali ini, dengan masing-masing mewakili sekitar 30% perwakilan juga perkembangan yang sangat menggalakkan dan menunjukkan PKR benar-benar parti masa depan untuk semua.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, kepimpinan PKR perlu melantik sebahagian pemimpin yang tewas untuk berada dalam saf kepemimpinan tertinggi parti.

“PKR kena lakukan ‘gencatan’ melibatkan semua pemimpin dalam tempoh enam bulan untuk meredakan ketegangan dan menilai kesetiaan pemimpin yang tewas dalam pemilihan.

“Jika mereka terus kekal dalam parti selepas enam bulan, maka barulah PKR ambil jalan melantik pemimpin yang tewas untuk menganggotai kepimpinan parti menerusi secara lantikan.

“Jika parti mahu lebih kuat, mereka boleh memilih untuk mengambil tindakan luar dengan mewujudkan jawatan lantikan, contohnya Timbalan Presiden II dan melantik Rafizi (Ramli) menyandang jawatan lantikan itu,” katanya. – 24 Mei, 2025

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Related