HEADLINES

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Anwar rujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan

Lapan persoalan undang-undang itu antaranya berkaitan kekebalan seorang Perdana Menteri daripada dikenakan sebarang saman

4:01 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi hari ini untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai kekebalan daripada tindakan saman.

Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan tersebut selepas mendapati ia tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Persoalan undang-undang itu berhubung kes saman yang dikemukakan oleh bekas pembantu penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther, berkaitan dakwaan berlaku serangan seksual, tujuh tahun lepas.

Persoalan itu termasuk sama ada di bawah Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati tiada mana-mana artikel dalam Perlembagaan Persekutuan yang disebut oleh pasukan peguam Anwar yang menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang sebenar, substansial atau boleh dibicarakan yang memerlukan keputusan Mahkamah Persekutuan di bawah Artikel 128(2) Perlembagaan Persekutuan atau Seksyen 84 Akta Kehakiman Mahkamah 1964.

“Dari perspektif kehakiman, soalan-soalan yang dicadangkan tidak nampak memenuhi tahap kontroversi perlembagaan yang sebenar,” kata hakim.

Anwar memfailkan permohonan itu pada 23 Mei lalu dan memohon agar Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.

Lapan persoalan undang-undang itu termasuk sama ada, di bawah Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.

Hakim Roz Mawar dalam alasan ringkas penghakimannya berkata lapan persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pihak pembelaan adalah bersifat spekulatif, tidak relevan untuk penyelesaian kes ini dan tidak melibatkan tafsiran atau kesahihan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai dakwaan imuniti, beliau menegaskan Perkara 39, 40 dan 43 yang dirujuk oleh pihak defendan adalah peruntukan struktur berkaitan kuasa eksekutif dan bukan peruntukan yang memberi imuniti peribadi kepada seseorang Perdana Menteri.

“Tiada perlindungan secara jelas atau tersirat terhadap liabiliti sivil dalam Perlembagaan. Ketiadaan peruntukan imuniti perlu ditafsirkan sebagai prinsip kesaksamaan dalam pertanggungjawaban undang-undang.

“Perkara-perkara yang dirujuk oleh pasukan guaman defendan tidak beroperasi dalam konteks permohonan rujukan Perlembagaan ini,” katanya, lapor Bernama.

Hakim Roz Mawar turut menolak hujah pihak defendan bahawa tindakan membenarkan saman sivil berdasarkan dakwaan salah laku sebelum pelantikan boleh menjejaskan keupayaan Perdana Menteri menjalankan fungsi eksekutif.

Beliau menjelaskan Perkara 43 tidak memperuntukkan sebarang imuniti kerana ia hanya menyentuh aspek pelantikan dan tempoh jawatan, tanpa menyatakan perlindungan daripada prosiding kehakiman.

“Pertama, tiada imuniti yang tersirat dalam Perkara 43. Perkara ini hanya berkaitan pelantikan dan tempoh jawatan dan tidak mengandungi sebarang peruntukan atau implikasi imuniti daripada prosiding kehakiman,” katanya.

Hakim turut menyatakan bahawa defendan (Anwar) sudah menyatakan kesediaan untuk meneruskan perbicaraan, dan tiada bukti menunjukkan saman itu menjejaskan keupayaannya melaksanakan tugas perlembagaan.

“Mahkamah ini tidak mendapati sebarang keadaan luar biasa yang memerlukan penangguhan prosiding,” katanya. – 4 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Brunei’s DPMM FC returns as invited team for 2025–26 Super League season

MFL confirms DPMM FC’s participation with FIFA approval as 14 clubs line up for new season under stricter financial rules

Can Mutiara LRT line transform Penang’s transport, economy? Here’s an explainer

The RM13bil endeavour aims to tackle congestion, enhance connectivity, and spark economic growth across the island

Malaysian teen made RM76,000 selling child porn as police bust major online abuse ring

Authorities arrest 31 suspects, including six minors and a religious teacher, in nationwide Op Pedo 2.0 raids that uncovered 880,000 exploitative files

Related