KUALA LUMPUR – Pemandu bas ekspres yang terlibat dalam nahas ngeri yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dekat Tasik Banding, Gerik memohon maaf kepada keluarga mangsa, mendakwa masalah brek sebagai punca kemalangan.
“Saya minta maaf kepada seluruh keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kemalangan pagi semalam. Apa yang berlaku disebabkan brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba,” kata Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, memetik laporan Harian Metro.
Mengimbas kembali kejadian, beliau berkata, bas yang bertolak dari Terengganu itu pada awalnya dalam keadaan baik sehinggalah tiba di jambatan lintasan gajah di Gerik apabila secara tiba-tiba brek bas tidak berfungsi.
“Ketika itu saya sudah cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas juga kosong menyebabkan semua tidak berfungsi termasik brek tangan dan gear bas juga tidak boleh ditukar.
“Apa yang saya buat ketika itu adalah cuba mengelak dari kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan seingat saya empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian berlaku.
“Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcham dan ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk. Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan hakikat sebenar saya cuba mengelak dari melanggar kenderaan mereka namun disebabkan kejadian yang berlaku adalah kawasan selekoh, saya tidak mampu berbuat apa-qpa,” katanya dalam nada kesal.
Amirul yang berpengalaman membawa bas sejak 2016 berkata, ketika brek bas tidak berfungsi, dia sudah menjerit kepada pelajar supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Mereka yang berada di kerusi depan mungkin sedar dengan arahan saya, namun yang berada di belakang kebanyakannya sedang tidur dan menyangka saya sedang marah.
“Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak bergungsi sejauh lebih satu kilometer dan apa yang pasti saya sudah cuba yang terbaik sebagai pemandu bas untuk mengelak kemalangan itu,” katanya sambil menahan air mata.
Jelasnya, dia sendiri pengsan seketika ketika bas terbalik sebelum kembali sedar dan menjerit kepada pelajar meminta mereka keluar daripada cermin hadapan bas yang pecah.
“Saya merangkak keluar daripada cermin depan dan ketika itu saya melihat keadaan pelajar semua. Saya sendiri sedih dan menangis dengan apa yang berlaku, namun apakan daya, Allah uji saya dengan kemalangan berat ini.
“Sepanjang saya memandu bas, ini adalah pertama kali saya terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa dan sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah. Saya hanya mampu meminta maaf dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.
Bagaimanapun, rekod polis sejak itu mendedahkan Mohd Amirul telah mengumpul sejumlah 18 saman trafik yang belum dijelaskan, termasuk 13 kerana memandu laju, satu untuk kemalangan sebelum ini, tiga kerana gagal memakai tali pinggang keledar, dan satu untuk lampu brek ketiga yang tidak berfungsi.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan saman itu, sambil menambah bahawa bas terbabit juga mempunyai sejarah membimbangkan iaitu 21 kesalahan trafik.
“Daripada 21 saman terhadap bas itu, 16 sudah dijatuhkan hukuman manakala lima masih dalam siasatan,” katanya.
Polis kini sedang mengumpulkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kejadian itu dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.
“Kami menyasarkan untuk melengkapkan kertas siasatan dengan segera dan membawa pemandu ke mahkamah. Siasatan akan merangkumi setiap sudut – rekod, latar belakang, aktiviti lepas dan sejarah pekerjaannya,” kata Mohd Yusri.
Nahas berlaku kira-kira jam 1.15 pagi di Lebuhraya Timur-Barat (Jalan Raya Timur-Barat) apabila bas sewa khas yang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu itu dilaporkan hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang sebuah Perodua Alza sebelum terbalik. Lima belas pelajar maut dan tujuh lagi cedera parah. – 10 Jun 2025
