KUALA LUMPUR – Semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara bersasar yang akan berkuatkuasa 1 Julai ini dijangka mampu menjana hasil tambahan kepada kerajaan.
Bagaimanapun, pakar ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Ahmed Razman Abdul Latiff ketika memberitahu Scoop berkata, ia juga tertakluk kepada prestasi ekonomi tempatan.
Jelasnya, jumlah SST yang diunjurkan Kementerian Kewangan mencecah RM46.7 bilion bagi 2025, lebih tinggi berbanding kutipan di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2017 sebanyak RM44.3 bilion.
“Kesan peluasan skop SST ini akan membolehkan negara meningkatkan hasil dan menggunakan hasil itu untuk lebih banyak program kepada rakyat.
“Namun jika aktiviti ekonomi semakin perlahan, mungkin hasil tambahan yang diharapkan tidak akan tercapai.
“Ada kemungkinan kadar inflasi akan meningkat sedikit tetapi masih lagi rendah, malahan tidak akan mencecah 3%,” katanya.

Menurutnya, peluasan skop SST itu berisiko untuk menaikkan kadar inflasi semasa iaitu 1.4%, berikutan kenaikan akan dipindahkan oleh pihak pengeluar dalam rantaian nilai bekalan barangan dan perkhidmatan seterusnya kepada pengguna dan perniagaan yang berada di hujung.
Bagaimanapun, Ahmed Razman memberitahu, kenaikan kadar itu masih terkawal dan mungkin naik sedikit saja kerana kebanyakannya membabitkan barangan bernilai tinggi dan mewah, bukannya barangan keperluan utama terutama makanan dan minuman.
Isnin lalu, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan semakan kadar dan perluasan skop SST mulai 1 Julai ini secara bersasar yang memperlihatkan barangan pilihan tertentu seperti ‘king crab’, salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, essential oil, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5 %.
Sementara beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10% seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Mulai 1 Julai 2025 juga, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Sementara itu Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata semakan dan peluasan SST secara bersasar itu menunjukkan kerajaan tetap komited terhadap dasar konsolidasi fiskal yang mana disiplin kewangan menjadi tunggak kepada dasar fiskal.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan langkah itu, penilaian oleh agensi penarafan kredit seperti Moody’s, S&P dan Fitch akan lebih baik, sekali gus memberikan keyakinan dalam kalangan pelabur selain pengukuhan nilai ringgit pada masa akan datang.
“Suku pertama 2025 kita sudah saksikan penurunan defisit fiskal kepada 4.5 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku pertama 2024.
“Perkara ini disebabkan kutipan SST yang meningkat 30.3 peratus pada suku pertama hasil daripada kenaikan cukai perkhidmatan daripada 6 kepada 8 % pada 1 Mac 2024.
“Selain itu, rasionalisasi subsidi diesel pada 10 Jun 2024 telah menyebabkan penurunan dalam subsidi dan bantuan sosial sebanyak 19.4 peratus pada suku pertama 2025.
“Pendekatan yang dijalankan adalah begitu berhati-hati bagi memastikan objektif pengukuhan fiskal tercapai dan pada masa yang sama tidak mendatangkan kejutan negatif kepada ekonomi,” katanya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu kenyataan sebelum ini berkata kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi Madani.
Beliau berkata, bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, Kerajaan Madani mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.
Selain itu, katanya, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). – 13 Jun, 2025

