HEADLINES

Rampas aset RM31.4 bilion, tahan 5,703 individu dalam tempoh 5 tahun: Azam Baki

Suruhanjaya itu melucut hak harta hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun, hasil tindakan berterusan agensi itu memerangi jenayah rasuah

5:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset bernilai lebih RM3.5 bilion dan menahan seramai 5,703 individu dengan 5,145 kertas siasatan dibuka berdasarkan 34,819 laporan yang diterima antara 2020 hingga April ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata dalam tempoh sama suruhanjaya itu melucut hak harta hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun, hasil tindakan berterusan agensi itu memerangi jenayah rasuah.

Pencapaian itu katanya membuktikan iltizam tinggi agensi dalam menegakkan integriti dan undang-undang selaras peranan SPRM sebagai badan penguat kuasa utama negara.

“Seramai 5,703 individu sudah ditahan untuk siasatan dalam tempoh itu, manakala jumlah sitaan pula mencecah RM3.5 bilion.

“Daripada jumlah tangkapan, seramai 2,479 individu didakwa di mahkamah dan 1,274 daripadanya disabitkan kesalahan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-undang Bertauliah Kali Ke-2 Tahun 2025 di sini, hari ini.

Seramai 250 graduan menerima pentauliahan masing-masing, terdiri daripada 74 program Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7) dan 176 graduan program Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Level 5) pada majlis itu.

Dalam upacara itu tiga graduan menerima Anugerah Akademik Terbaik iaitu Tengku Nur Diyana Syamimi Tengku Zolnurin bagi program Level 7, manakala Nor Hazira Mohamad Hasri dan Nurarina Yuslynda Usuf bagi program Level 5.

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Indera Junipah Wandi dan Dekan Fakulti Sains Sosial Nottingham Trent University United Kingdom (NTU UK), Profesor Daragh McDermott.

Selain itu, Pensyarah Kanan dalam Penguatkuasaan Undang-Undang dan Kepolisan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial, NTU UK, Phil Rudkin.

Azam berkata, kejayaan itu bukan sekadar angka, sebaliknya menunjukkan betapa pentingnya usaha membina budaya integriti secara menyeluruh dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat umum.

“Oleh itu, peranan graduan dalam bidang penguatkuasaan dan anti-rasuah amat penting. Mereka bukan sahaja perlu bebas daripada rasuah, malah bertanggungjawab menyebar kefahaman serta menjadi agen perubahan dalam masyarakat.

“Jadilah wira yang tidak didendangkan. Dalam dunia yang penuh kepalsuan, integriti adalah kekayaan paling bernilai,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata SPRM komited memastikan program latihan tidak hanya tertumpu kepada teori semata-mata, malah diterapkan nilai moral dan prinsip kukuh yang membentuk jati diri pegawai.

Beliau turut menegaskan rasuah kekal menjadi ancaman serius kepada negara, bukan sahaja dari aspek kewangan tetapi juga kepercayaan rakyat dan kestabilan institusi. – 12 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

Government to roll out targeted RON95 subsidy using IC-based verification

Tech-driven mechanism aims to curb misuse and ensure only deserving Malaysians benefit from subsidised fuel

Malaysian fighter pilots push boundaries beyond US Navy peers, says ex-American aviator

While America uses both defensive and offensive stances, Malaysia focuses primarily on the defensive

Related