KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menegaskan tiada sekatan terhadap aktivis dan pereka grafik bebas, Fahmi Reza untuk keluar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung hantaran media sosial dan laporan media melibatkan seorang individu yang mendakwa telah dihalang daripada meninggalkan negara pada 6 Jun 2025.
Beliau berkata, perbezaan paparan maklumat antara versi bahasa Melayu dan Inggeris dalam sistem semakan status perjalanan di laman rasmi JIM menjadi punca aktivis kontroversi itu dihalang ke Singapura, baru-baru ini.
“Tiada halangan dikenakan bagi individu tersebut untuk membuat perjalanan ke luar negara, namun sekatan masuk ke Sabah masih berkuat kuasa di atas arahan pihak berkuasa negeri.
“Hal ini timbul kerana portal versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian.
“Justeru, portal versi Bahasa Inggeris telah ditutup sementara waktu bagi tujuan pengemaskinian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JIM sedang menjalankan semakan teknikal secara dalaman bagi memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat yang dipaparkan dalam semua versi bahasa agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.
Sebelum ini Fahmi mendakwa dihalang untuk ke luar negara selepas disenarai hitam dari memasuki Sabah baru-baru ini.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook berkata, dia mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Singapura. – 13 Jun, 2025

